Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Kelantan menegur tindakan segelintir ahli perniagaan wanita di negeri itu, termasuk pengasas produk yang mempromosikan perniagaan secara tidak sopan dan berpakaian mencolok mata di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim berkata, pihak kerajaan serius dalam mendidik masyarakat agar memahami batas syariah, termasuk dalam urusan berkaitan perniagaan.
“Kita tidak mahu melihat kejayaan dalam perniagaan semata-mata tanpa keberkatan. Apa juga bentuk perniagaan mesti patuh syariah. Malangnya, ada yang ‘terlebih’ dalam aspek promosi terutamanya daripada sudut penampilan fizikal yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Menurutnya, rezeki yang melimpah belum tentu membawa manfaat jika tidak disertai dengan keberkatan, dan asas utama kejayaan usahawan ialah kepatuhan terhadap syariah dalam semua aspek termasuk kaedah promosi serta produk yang ditawarkan.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Tambah beliau, program pemerkasaan wanita dan keusahawanan yang dilaksanakan kerajaan negeri turut menyentuh aspek kepatuhan syariah secara menyeluruh dan inklusif, tanpa menyasarkan mana-mana pihak secara khusus.
Dalam masa sama, Rohani menekankan bahawa promosi perniagaan boleh dilakukan secara kreatif tanpa perlu melanggar batas moral dan agama, terutama dalam era digital masa kini.
Sumber: Sinar Harian








