Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Komunikasi menegaskan penganjuran konsert di Malaysia perlu mematuhi sensitiviti budaya dan agama tempatan. Penonton juga diingatkan agar berpakaian sopan, mengelak tingkah laku mengganggu dan menghormati nilai masyarakat bagi memastikan suasana hiburan kekal aman serta tertib.
Menurut laporan The Star, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, garis panduan terbaru Puspal bukan hanya tertumpu kepada penganjur dan artis, tetapi turut melibatkan tingkah laku penonton.
Garis panduan buat penonton dan penganjur
Beliau menjelaskan, penonton boleh diarahkan keluar sekiranya melontarkan kata-kata kesat, menimbulkan sentimen agama atau membaling objek ke arah pentas. Walaupun tiada takrifan jelas mengenai pakaian sopan, garis panduan menyebut pakaian yang terlalu menjolok mata atau mendedahkan tubuh secara berlebihan adalah dilarang.
Baca juga:
- JPNS larang sekolah tahan sijil pelajar gagal bayar yuran PIBG
- ‘Tiada pelanggaran SOP iring banduan’ – Jabatan Penjara
- Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta
Selain itu, Puspal menetapkan artis antarabangsa lelaki tidak boleh memakai pakaian wanita, manakala artis kedua-dua jantina dilarang membuka pakaian di atas pentas atau mengenakan pakaian yang mendedahkan dada serta terlalu singkat.
Mekanisme “kill switch” dan penguatkuasaan
Puspal turut memperkenalkan mekanisme khas dikenali sebagai ‘kill switch’ sejak 2023 bagi menghentikan persembahan secara serta-merta jika berlaku pelanggaran budaya, undang-undang atau ancaman keselamatan. Ia pernah diaktifkan semasa konsert penyanyi Korea Selatan Hyolyn pada Mei lalu kerana isu pakaian artis dan penari yang dianggap terlalu menjolok mata.
Mekanisme ini diwujudkan selepas insiden kontroversi melibatkan penyanyi Matty Healy (The 1975) pada Julai 2023. Ujian pertama dilakukan semasa konsert Coldplay sebelum ia dikuatkuasakan penuh tahun ini.

Setiap konsert yang diluluskan Puspal akan dipantau oleh dua hingga enam pegawai Puspal bersama agensi berkaitan termasuk polis, imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kuasa mengaktifkan kill switch terletak di bawah ketua pasukan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan dengan nasihat pegawai Puspal.
Nik Kamaruzaman menegaskan, sistem ini hanya digunakan dalam keadaan serius dengan mengambil kira risiko keselamatan, implikasi undang-undang serta ancaman segera terhadap penonton.








