Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Kerajaan kecualikan cukai SST ke atas epal dan oren import
• Keputusan dibuat selepas dengar keluhan rakyat tentang harga buah
• Langkah ini bantu golongan B40 dapat akses buah sihat dengan harga berpatutan
Kerajaan memutuskan untuk mengecualikan buah epal dan oren import daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), walaupun peluasan cukai tersebut bakal dilaksanakan mulai 1 Julai ini. Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendengar rungutan orang ramai yang bimbang kenaikan harga buah-buahan, termasuk yang sering dijadikan pilihan harian kerana lebih murah dan mudah didapati.
“Semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita dengar keluhan rakyat, ada yang masih nak makan epal dan oren sebab lebih murah.
“Jadi, walaupun ada sedikit cukai untuk import buah-buahan lain, kita beri pengecualian untuk epal dan oren,” katanya memetik laporan Bernama.
Anwar menambah, walaupun kerajaan menggalakkan rakyat mengutamakan buah-buahan tempatan seperti jambu, rambutan dan durian, kerajaan tetap perlu bertimbang rasa terhadap kemampuan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Langkah pengecualian ini juga bertujuan memastikan rakyat tidak kehilangan akses kepada sumber makanan sihat yang penting untuk kesihatan harian.
Mengapa epal dan oren jadi pilihan pengecualian?
Menurut pemerhatian, epal dan oren menjadi antara buah import yang paling banyak dibeli rakyat Malaysia kerana mudah diperoleh sepanjang tahun dan sering dijadikan bekalan harian untuk anak-anak ke sekolah atau juadah ringan di rumah.
Dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, pengecualian SST ke atas dua jenis buah ini dilihat sebagai usaha kerajaan menyeimbangkan dasar fiskal dengan keperluan rakyat.








