'Enam tahun saya melawan demi keadilan' - Syed Saddiq mohon doa rakyat Malaysia | The Reporter

‘Enam tahun saya melawan demi keadilan’ – Syed Saddiq mohon doa rakyat Malaysia

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap dalam rakaman video menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memohon doa seluruh rakyat Malaysia menjelang keputusan muktamad yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap kes yang dihadapinya.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial, Syed Saddiq berkata beliau telah melalui perjuangan selama enam tahun bagi mempertahankan dirinya selepas disiasat dan didakwa.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu beliau tidak pernah memohon supaya prosiding ditangguhkan, tidak pernah mencari jalan pintas dan tidak pernah meminta layanan istimewa.

“Esok (Selasa) Mahkamah Persekutuan akan beri keputusan terakhir dalam kes saya. Enam tahun saya melawan demi keadilan. Saya disiasat, didakwa, sampai akhirnya di Mahkamah Rayuan, keadilan ditegakkan dengan keputusan sebulat suara 3-0. Saya dibebaskan sepenuhnya.

“Tapi perjuangan itu belum selesai. Esok saya akan berdiri sekali lagi bukan untuk lari daripada sistem, bukan untuk cari simpati, tapi untuk pertahankan nama, prinsip dan maruah saya,” katanya.

Berdepan proses perundangan

Beliau berkata, beliau memilih untuk berdepan proses perundangan kerana yakin dengan kebenaran yang diperjuangkannya.

“I faced it head on. I dared to fight because my conscience is clear. Sebab saya tahu kebenaran mesti dipertahankan walaupun jalannya panjang, pedih dan kadang-kadang sunyi,” katanya.

Dalam masa sama, Syed Saddiq menegaskan kenyataan yang disampaikannya bukan sekadar mengenai dirinya, sebaliknya menyentuh soal masa depan negara dan prinsip keadilan.

Menurut beliau, Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang memberi ruang kepada anak muda untuk bersuara tanpa rasa takut, selain memastikan keadilan tidak dipengaruhi oleh pangkat, parti atau kuasa.

“Ini tentang Malaysia, negara kita. Tentang sebuah negara di mana anak muda berani bersuara tanpa takut ditekan dan dihancurkan. Di mana keadilan tidak memilih pangkat, parti atau kuasa. Di mana prinsip tidak boleh dibeli dan integriti tidak boleh dipadam,” katanya.

Baca juga:
Mohon doa rakyat Malaysia

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar tidak berputus asa terhadap negara dan terus mempertahankan kebenaran serta menentang kezaliman walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Syed Saddiq menegaskan, beliau telah melakukan segala yang termampu bagi mempertahankan kebenaran dan kini menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Allah SWT.

“Saya sudah berjuang sehabis baik. Saya sudah pertahankan kebenaran dengan segala kudrat. Kini saya serahkannya seluruhnya kepada Allah SWT kerana selepas manusia berusaha, Allah lah sebaik-baik penentu.

“Doakan saya, doakan untuk keadilan ditegakkan di mahkamah esok hari,” katanya.

Hari ini, keputusan rayuan terakhir bakal menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dibebaskan atau kembali disabitkan atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Related Posts