Edika Yusof kecewa, rumah tangga retak selepas 19 tahun jaga isteri lumpuh | The Reporter

Edika Yusof kecewa, rumah tangga retak selepas 19 tahun jaga isteri lumpuh

Edika Yusof menyuapkan makanan kepada isterinya yang berkerusi roda dengan penuh kasih sayang
Momen penuh kasih: Edika Yusof setia menjaga isterinya selama 19 tahun ketika sakit | Gambar: Nona

Pelakon veteran, Edika Yusof, 58, menyatakan hasrat untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama isteri, Nor Hidayah Yusri, 47, walaupun wanita itu sudah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mac lalu.

Menurut Edika, sepanjang 22 tahun berkahwin, beliau menjaga Hidayah yang menghidap meningitis dan lumpuh hampir 19 tahun tanpa pernah mengeluh, malah berusaha menjaga privasi hubungan mereka tanpa mempamerkannya di media sosial.

“Saya jaga dia hampir 19 tahun ketika sakit. Kalau boleh, saya nak selamatkan rumah tangga kami, tapi kalau berpisah itu buat dia gembira, saya reda,” katanya kepada media.

Keadaan menjadi semakin tegang

Edika juga memaklumkan bahawa mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak lebih tiga bulan lalu selepas Hidayah memutuskan untuk berpindah bagi menenangkan fikiran. Namun, beliau tidak menyangka keputusan itu membawa kepada permohonan cerai.

“Kalau betul dia nak dilepaskan, patutnya dari awal. Saya bantu waktu dia nak pindah sebab ingatkan nak bagi ruang untuk kami sama-sama muhasabah. Tapi sekarang jadi makin tegang,” luahnya.

Walaupun masih menyimpan harapan agar rumah tangganya dapat diselamatkan, Edika mengakui tidak tahu punca sebenar yang mendorong isterinya untuk bercerai, kerana tiada isu besar seperti curang atau keganasan rumah tangga.

“Tanggungjawab semua saya buat. Mungkin ada perkara kecil yang saya tak sedar menyakitkan hati dia. Mungkin saya ‘push’ terlalu kuat tanpa sedar, sebab saya pun manusia biasa,” katanya.

Dapatkan khidmat kaunseling

Menurut pelakon Maria Mariana itu lagi, dua anak kandung mereka iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20, tidak menunjukkan usaha untuk memperbaiki hubungan antara ibu bapa mereka. Namun, anak tiri Edika iaitu Nazirul Afiq, 27, dilihat lebih berharap agar mereka tidak berpisah.

“Anak-anak saya okay saja selagi saya dan isteri nampak gembira. Tapi tiada usaha dari mereka untuk rapatkan kami semula,” katanya lagi.

Edika juga berkongsi bahawa beliau sendiri sudah mendapatkan khidmat kaunseling sejak 2022 bagi mengurus tekanan sebagai penjaga kepada pasangan sakit, dan berharap Hidayah juga bersedia ke sesi kaunseling bersama sebelum keputusan cerai dibuat.

“Saya tahu dia alami kesan mental disebabkan penyakit. Tapi saya harap dia boleh jumpa pakar. Kalau perlu, kita ke mahkamah sama-sama untuk jalani sesi kaunseling.”

Kes perceraian mereka dijadualkan untuk sebutan semula esok selepas Edika gagal hadir dalam prosiding pertama pada Mac lalu.

Related Posts