Dua kapal tentera laut AS singgah di Pulau Pinang untuk urusan logistik | The Reporter

Dua kapal tentera laut AS singgah di Pulau Pinang untuk urusan logistik

Kapal Tentera Laut Amerika Syarikat USS Santa Barbara dan USS Tulsa berlabuh di North Butterworth Container Terminal, Pulau Pinang.
Gambar: Berita Harian.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pulau Pinang menjadi lokasi persinggahan sementara dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, iaitu USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16), di North Butterworth Container Terminal (NBCT) dari 14 hingga 16 Mac 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan bahawa kehadiran kedua-dua kapal tersebut adalah bagi tujuan port of call, iaitu persinggahan untuk urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya. Antara aktiviti yang dilakukan termasuk ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta memberi peluang rehat kepada anak kapal.

Menurutnya, persinggahan kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan dan pelayaran antarabangsa. Ia juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha diplomasi pertahanan yang mampu meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.

Baca juga:

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa setiap kehadiran kapal tentera laut asing adalah tertakluk kepada prosedur dan dasar yang ketat. Semua permohonan perlu melalui saluran rasmi dan mendapat kelulusan Kerajaan Malaysia sebelum dibenarkan berlabuh di pelabuhan tempatan.

“Port of call seperti ini juga berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara-negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun 2025, Malaysia telah menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara, antaranya Australia, China, Jepun, Perancis dan Amerika Syarikat, melalui persinggahan pelabuhan yang sama.

Related Posts