Di sinilah aku mula-mula mengenal apa itu erti perniagaan. Seminggu selepas arwah ayah pergi meninggalkan kami pada tahun 2004, aku menjejakkan kaki ke sini buat pertama kali. Aku mendapat kerja secara sambilan dengan upah RM20 hingga Rm25 sehari setiap malam.
Di sini, aku belajar mencari rezeki, belajar selok belok perniagaan. Dari gaji RM20, aku mula mengorak langkah bersama dengan rakan baikku, Tun Harriss. Kami bersama-sama mengejar impian dan alhamdulillah kami menjadi mendapatkan sebuah tapak sendiri pada tahun 2006.
Kami menjual pakaian wanita berserta dengan tirai langsir dan juga barang-barang aksesori rumah. Dari hanya sebuah tapak, kami berjaya mendapatkan sebuah lagi tapak. Tidak lama kemudian, kami mampu membeli sebuah van dan boleh mengupah pekerja. Tahun 2006 merupakan tahun yang amat berjaya buat kami.
2009, kami beralih pula ke perniagaan berasaskan tembakau dan dinamakan Shisha Oh Shisha. Ramai rakan-rakan yang kami kenali di sini. Mereka silih berganti datang dan pergi. Jadi port lepak dan meluahkan perasaan masing-masing. Dan ayat kami yang pasti, kalau ingat kami datanglah cari kami di sini. Kami sentiasa ada di sini, di Downtown Cheras.
Tetapi selepas ini, tiada lagilah port melepak beramai-ramai sampai pagi nak sembang-sembang luahkan perasaan.
Pada tahun 2011, aku mengikat tali pertunangan dengan orang yang paling rapat dengan aku. Dialah kawan baik aku yang aku nyatakan awal-awal cerita tadi.
Seterusnya kami bernikah pada tahun 2012. Alhamdulillah, rezeki kami ada di Downtown Cheras dari bujang berkahwin sehinggalah menimang cahaya mata.
Anak kami mendapat langkah pertamanya di sini. Mula belajar berjalan di Downtown Cheras. Hari-hari kami lalui di sini pelbagai suka duka susah senang bersama rakan-rakan peniaga di sini. Sambutan harijadi anak-anak peniaga saban tahun menjadikan kami lebih rapat.
2014 ketika musim Banana Cheese, kami mengambil peluang untuk turut berniaga Banana Cheese sehingga mendapat pelanggan tetap. Alhamdulillah syukur, rezeki tidak putus-putus. Terima kasih Allah.
2015, berita penutupan Downtown Cheras dari pihak pengurusan benar-benar menganggu fikiran. Resah dan gelisah bila memikirkan masa depan anak-anak.
Adakah tapak baru nanti akan sebaik di sini? Adakah jumlah tapak yang disediakan cukup menampung semua peniaga yang hampir 1,000 tapak? Semoga semuanya baik-baik sahaja.
Aku kini sedang belajar menjadi jurujual penapis air bersama CSteam di Coway Malaysia. Semoga pengalaman berniaga aku cukup membuatkan aku kental menghadapi dunia jurujual.
Suamiku ketika ini sedang membuka kedai. Masih berharap agar tapak baru lebih diberi publisiti dan mendapat perhatian. Semoga rezeki kami tidak putus dan berterusan.
“Sabarlah sayang, ini ujian untuk kita,”.
Downtown Cheras akan berpindah ke parking bertingkat Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan bermula 1 Mac 2016. Separuh daripada kami akan ke Shamelin Night Market. Semoga ada cahaya rezeki menanti kami di sana. InshaAllah. – Khazira Karim | PIXEL MEDIA