Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun kompaun sehingga 60 peratus sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Fairul Nizam Che Rus, berkata kadar diskaun saman kali ini lebih tinggi berbanding 50 peratus yang ditawarkan tahun lalu.
“Untuk tahun ini, kita juga mendapat kawasan yang luas, jadi kita dapat menjayakan 25 kaunter untuk pembayaran saman dari Jumaat hingga Ahad, bermula 9 pagi hingga 6 petang,” katanya memetik laporan dari Bernama.
Program 2TM bertemakan “MADANI di hati, Rakyat disantuni” ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu. Ia dianjurkan untuk meraikan pencapaian kerajaan MADANI sepanjang dua tahun pentadbiran.
Selain itu, program ini berfungsi sebagai platform untuk mendekatkan rakyat dengan pelbagai agensi kerajaan, memaparkan perkhidmatan yang disediakan, serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam memperkukuhkan kesejahteraan negara.
Sumber: Bernama








