Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) dalam satu kenyataan memaklumkan penggantungan siaran saluran TV Awesome Broadcasting Sdn Bhd (Awesome TV) di platformnya berkuat kuasa 2 November ini.
Penggantungan saluran televisyen swasta itu dibuat berikutan isu komersial membabitkan pembayaran fi akses antara kedua-dua pihak meskipun pelbagai jalan penyelesaian sudah cuba diambil.
“Penggantungan saluran Awesome TV ini adalah amat dikesali dan MYTV memohon maaf kepada penonton atas sebarang kesulitan disebabkan perkara terbabit.
“MYTV menghargai segala sokongan dan kerjasama daripada penonton dan akan terus meningkatkan usaha dalam mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Awesome TV kesal dengan tindakan MYTV
Awesome TV mula bersiaran secara rasmi pada 1 Ogos 2020 dengan menawarkan kandungan tempatan dan antarabangsa. Bagaimanapun, Awesome TV masih boleh diikuti di saluran Astro.
Susulan kenyataan itu, pihak Awesome TV pula membalas kenyataan tersebut. Awesome TV melalui kenyataan rasmi di Facebook menyatakan kesal dengan tindakan yang dibuat oleh pihak MYTV sedangkan ketika ini rundingan di antara kedua-dua pihak masih dijalankan.
“Awesome TV berpandangan ini merupakan layanan tidak adil daripada MYTV terhadap syarikat pemula seperti Awesome TV. Ini berikutan pihak Awesome TV dikenakan bayaran lebih tinggi untuk tempoh 30 bulan penggunaan manakala stesen televisyen pemula lain membayar kadar sama untuk tempoh 60 bulan.
“Berdasarkan pembayaran yang dibuat, Awesome TV boleh bersiaran hingga Ogos 2025 dan telah dinafikan subsidi MCMC yang diberikan oleh MYTV kepada pihak pengoperasi tv. Tindakan ini menunjukkan MYTV mempraktikkan amalan yang tidak seimbang,” tulis kenyataan itu.
Kenyataan akhbar Awesome TV


Pada masa sama, pihak Awesome TV turut menyatakan ketika mereka memulakan siaran, pihak Awesome TV sentiasa mempromosikan mengenai MYTV sehingga mencapai jutaan ringgit. Namun begitu, MYTV tidak memberikan sebarang subsidi kepada Awesome TV, tetapi diberikan kepada stesen televisyen swasta yang lain.
Dalam pada itu juga, Awesome TV mengharapkan pihak MYTV memberikan layanan sama rata seperti setesen televisyen swasta baharu yang lain supaya keadilan dapat ditegakkan.
Sumber: Bernama, Awesome TV