Viral di media sosial semalam video seorang lelaki menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan berusia 70 tahun di Taman Acacia, Nilai.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8:00 malam Sabtu, mangsa, Yahya Manap cedera di bahagian hidung dan bengkak di muka serta sakit di belakang badan akibat dipukul suspek yang merupakan pelawak popular tahun 90-an.
Menceritakan semula kejadian itu, Yahya berkata, dia menyedari kereta suspek mengekori rapat kereta seorang penduduk dan memasuki kawasan perumahan itu tanpa kebenaran.
“Saya pelik dengan tindakan lelaki itu lalu menunggang motosikal mengekorinya bertujuan meminta dia membuat pendaftaran terlebih dulu. Namun sebaik tiba di depan sebuah rumah, saya lihat dia sedang bertengkar dengan penghuni itu dan beredar.
“Saya mengekorinya semula keretanya dan dia berhenti di depan palang yang bertutup. Dia memarahi supaya membuka palang itu dan menendang motosikal saya.
“Saya cuba memberi penjelasan, tetapi dia menumbuk muka saya tiga kali dan menendang pinggang. Dia kemudian ambil batu membalingnya ke arah saya, namun sempat dielak dan mengenai kerusi,” katanya.
Yahya yang bimbang keadaan menjadi semakin keruh lalu membuka palang tersebut. Suspek sempat mengugutnya sebelum beredar dari tempat kejadian.
Susulan kejadian itu, Yahya membuat laporan polis di Balai Polis Nilai pagi semalam dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
Yahya berkata, dia tidak mengenali siapa suspek berkenaan, tetapi ada yang memaklumkan kepadanya suspek merupakan pelawak 90-an
“Siapa pun dia, dia tidak sepatutnya cederakan orang lebih berusia seperti saya. Saya ada keluarga, isteri dan anak juga kecewa serta sedih melihat keadaan saya begini.
“Saya tidak berdendam, cuma sedih dengan perbuatannya itu. Kalau dia nak minta maaf, tunggulah saya sihat dulu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar mengesahkan menerima laporan mangsa dan bertindakan di atas laporan itu, pihaknya telah menahan suspek petang semalam ketika suspek hadir untuk memberi keterangan di IPD Nilai.
Suspek akan direman pagi ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan rekod, suspek pernah terlibat dalam pergaduhan dengan penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada 2017 kerana berang tayar keretanya dikunci selepas diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani