Seorang wanita meluahkan rasa kesal terhadap sebuah pusat mencuci kereta di Taman Perling, yang didakwa enggan bertanggungjawab ke atas kunci keretanya yang rosak semasa kenderaan miliknya diserahkan kepada pihak berkenaan untuk dicuci.
Dalam hantaran di Facebook pada Ahad, Aeenz Mohd Ghazali berkata, dia terdahulu telah datang ke pusat berkenaan untuk menyerahkan keretanya Proton Exora untuk dibasuh dengan pakej berharga RM65 dan RM60 lagi untuk menghapuskan lipas.
Kunci kereta diletakkan di tempat yang disediakan dan dia dimaklumkan keretanya akan siap dibasuh dalam masa lebih kurang sejam kemudian.
Kunci kereta berderai
Namun, apabila dia kembali semula untuk mengambil keretanya, Aeenz mendapati lampu keretanya menyala (enjin telah dihidupkan). Setelah membuat pembayaran, dia memandu keluar keretanya dari tempat tersebut.
Tidak beberapa lama kemudian, dia mendapati kunci keretanya rosak dan pecah berderai. Lalu segera menghubungi dan memaklumkan perkara itu kepada suaminya.
“Selang 10 ke 15 buah kedai, aku nak matikan enjin, pergi ke kedai kawan aku. Dan masa inilah aku tahu kunci kereta aku dah berderai. Cip, bateri dah berderai dari casing kunci,” katanya.
10 minit kemudian, suaminya datang dan pergi ke pusat mencuci kereta itu untuk menuntut penjelasan daripada pemiliknya. Namun, pemiliknya mendakwa Aeenz sendiri yang menghidupkan enjin kenderaan itu.
Rugi RM575 untuk buat kunci baru
Tidak berpuas hati dengan tuduhan itu, Aeenz menafikan dan menegaskan enjin kenderaannya sememangnya telah dihidupkan ketika dia sampai ke kedai tersebut. Selain itu, Aeenz turut mendakwa pemilik premis itu menghalau mereka berbanding memohon maaf dan bertanggungjawab di atas apa yang telah berlaku, sebaliknya menyalahkan Aeenz.
“Dia (owner) cuba nak menyalahkan aku. Korang tahu kan, enjin kereta takkan hidup sendiri dan kalau tengok betul-betul video ini, dengar yang dia kata dia start enjin kereta aku.
“Dia langsung tak ada minta maaf atau simpati. Dia kata kereta aku dah keluar dari kedai dia dan mereka tak nak bertanggungjawab apa-apa yang berlaku pada kereta aku.
“Dia bermati-matian menyalahkan aku yang hidupkan enjin kereta dan tuduh aku patahkan kunci. Aku takkan sebodoh itu nak patahkan kunci. Padahal esok aku nak berjalan jauh,” ujarnya.
Disebabkan kejadian itu, Aeenz terpaksa menanggung kerugian RM575 untuk membuat kunci baharu.
Meskipun tidak reda dengan apa yang berlaku, Aeenz menganggap tiada rezeki untuk dirinya dan berharap orang ramai lebih berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mencuci kenderaan dengan memeriksa maklumbalas pelanggan di Google Review.
Sumber: Facebook