'Dia & keluarga pujuk saya gugurkan kandungan luar nikah, tapi selepas 6 bulan berkahwin saya diceraikan' - Bekas ratu cantik dakwa diperdaya dalam perkahwinan - The Reporter

‘Dia & keluarga pujuk saya gugurkan kandungan luar nikah, tapi selepas 6 bulan berkahwin saya diceraikan’ – Bekas ratu cantik dakwa diperdaya dalam perkahwinan

Bekas ratu cantik tempatan yang juga pelakon, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam, 27, mendakwa dia diperdaya dalam perkahwinannya walaupun dia sanggup menggugurkan kandungan anak luar nikahnya sebelum ini.

Shakila berkata, dia telah dipujuk oleh keluarga suami dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya walaupun dia pada awalnya enggan menggugurkan janin anak kembar berusia bulan itu pada awal tahun lalu.

Sebagai ‘balasan’ menggugurkan kandungan itu, lelaki terbabit telah berkahwin dengan Shakila pada 22 Mei lalu. Namun, setelah enam bulan mendirikan rumah tangga,  27 November 2022, si suami telah memfailkan cerai di mahkamah syariah.

“Pada Januari tahun lalu, saya disahkan hamil hasil hubungan saya dengan suami saya yang pada ketika itu masih lagi merupakan teman lelaki saya.

“Dia sejak dari awal mengetahui mengenai kehamilan saya, telah memujuk saya untuk menggugurkan kandungan tersebut. Malah kehamilan saya turut diketahui oleh bapanya yang saya panggil walid, kerana suami saya sendiri memaklumkan perkara tersebut kepada bapanya yang juga seorang tokoh agama bagi mendapatkan pandangan.

“Walaupun saya bertegas untuk tidak menggugurkan kandungan saya, suami saya telah memujuk dan menyakinkan saya bahawa perbuatan itu tidak haram. Beliau turut berjanji akan mengahwini saya selepas kandungan itu digugurkan,” katanya memetik laporan daripada Malaysia Gazette.

Menurut Shakila, enam bulan selepas berkahwin, dia disahkan mengalami keguguran. Dia dimaklumkan oleh doktor bahawa dia mengalami chemical pregnancy yang merupakan kesan kepada pembuangan kandungan pernah dilakukan sebelum ini.

Lapan hari selepas itu, suaminya telah memfailkan perceraian di mahkamah syariah atas sebab yang tidak masuk akal.

Shakila tidak menyanga suaminya akan bertindak sedemikian, malah keluarga suaminya juga serta-merta enggan mempedulikannya. Hal itu membuatkan Shakila tertekan dan pernah cuba membunuh diri.

“Saya tidak sangka saya akan diceraikan selepas lapan hari mengalami keguguran. Lebih menyedihkan, selepas perceraian difailkan, suami dan keluarganya sudah tida mempedulikan saya dan membiarkan saya menghadapi masalah ini seorang diri.

“WhatsApp dan panggilan telefon dari saya langsung tidak dibalas mahupun dijawab,” katanya.

Shakila juga pernah cuba menghubungi bapa mentuanya melalui media sosial dan menceritakan apa yang telah berlaku, tetapi tindakannya itu telah mengundang ugutan bunuh pada diri dan keluarganya daripada individu tidak dikenali.

“Selepas menerima ugutan tersebut, saya telah melantik peguam bagi menasihati diri saya di mana setelah itu saya difahamkan bahawa fatwa yang dirujuk oleh suami saya dan bapanya adalah tidak terpakai kepada saya yang mengandungan anak luar nikah pada ketika itu.

“Jika mereka tidak menyalahgunakan fatwa Perlis dan Pahang, sudah pasti saya tidak akan menggugurkan kandungan saya yang mana doktor sendiri mengesahkan saya mengandungkan anak kembar.

“Saya bukan sahaja kehilangan anak kembar, tetapi juga kehilangan bayi yang dikandung selepas perkahwinan kami,” jelasnya.

Shakila menafikan dia cuba mengaibkan bekas suami. Sebaliknya dia hanya mahu memberi peringatan kepada golongan wanita di luar sana agar berhati-hati apabila menerima pandangan agama daripada sesiapa kerana ada yang menggunakan agama untuk kepentingan diri.

Sumber: Malaysia Gazette

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!