Seorang lelaki muda berusia 17 tahun ditahan polis kerana membakar rumah milik bapanya dalam kejadian di Desa Karya Bakti, Kecamatan Tebo Tengah, Indonesia pada 4 Februari lalu.
Suspek yang dikenali sebagai RG itu nekad membakar rumah keluarganya hanya kerana bengang tidak diberi wang perbelanjaan untuk menanggung kos majlis perkahwinannya.
Semasa kejadian, bapanya keluar untuk mengusahakan kebun. Suspek bersama dengan rakannya kemudian masuk ke bilik bapanya melalui tingkap dan menyimbah tiga liter minyak tanah lalu dibakar.
Selepas kejadian itu, mangsa dimaklumkan oleh jiran berdekatan bahawa kebakaran yang menyebabkan rumah dan harta bendanya musnah itu didalangi oleh anaknya sendiri di mana sebelum kejadian berlaku, suspek bersama rakannya yang menunggang motosikal mundar mandir di lokasi sambil membawa bekas minyak.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan suspek.
“Saya minta polis untuk menangkap anak saya. Dia kini sudah ditahan dan disiasat oleh pihak polis,” katanya.
Ketua Polis Tebo Tengah, AP Dedi Tanto Manurung, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya ada menerima laporan dari mangsa.
Siasatan awal mendapati, suspek mengaku berbuat demikian kerana kesal dengan bapanya yang selama ini hanya menganggap dia sebagai patung di rumah itu.
Setiap kali dia cuba mengajak bapanya berbincang mengenai hal perkahwinannya, si bapa langsung tidak mempedulikannya.
Sumber: Klik Times