Setelah lama bersama, Duta telefon pintar Oppo F1 Plus, Nora Danish, tidak menolak kemungkinan bakal mendirikan masjid dengan Nedim Nazri pada tahun ini.
Nora yang sudah berusia 35 tahun berkata, dia tidak mahu tergesa-gesa mengikat hubungan mereka itu kerana mahu memastikan dirinya benar-benar sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri.
“Saya tidak menolak kemungkinan akan berkahwin pada tahun ini. Tetapi sebelum itu saya ingin memastikan saya sudah bersedia untuk kembali bergelar sebagai isteri.
“Tambahan pula, saya tidak mahu berkahwin hanya semata-mata kerana cinta, sebaliknya kerana Allah.
“InshaAllah jika sudah sampai masanya nanti, saya akan beritahu pada semua,” katanya, memetika temubualnya dengan mStar Online, semalam.
Mengulas mengenai kenyataan bapa Nedim yang telah memberi keizinan pada mereka berdua untuk berkahwin, Nora bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya terkejut bila ada wartawan bertanyakan tentang kami pada Datuk Seri Nazri Aziz. Tiada apa-apa yang saya boleh komen kerana saya menghormatinya sebagai menteri,” katanya.
Nora juga berkata, dia tidak merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran. Sebaliknya mahukan majlis yang ringkas sahaja. – PIXEL MEDIA