Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengetua di sebuah sekolah di Jepun dikenakan hukuman atas dakwaan kesalahan mencuri kopi. Akibat tindakannya itu, dia telah dipecat dari jawatannya dan tidak menerima manfaat pencen dianggarkan 20 juta yen (kira-kira RM637,928).
Dia dikatakan hanya membayar bagi harga kopi bersaiz biasa tetapi sebenarnya dia mengambil saiz cawan yang besar di mesin layan diri di sebuah kedai serbaneka pada 21 Disember lalu.
Tindakan pengetua sekolah itu disedari oleh pekerja kedai apabila melihat beliau mengisi cawannya dengan menekan butang untuk kopi bersaiz cawan besar, yang berharga 180 yen (RM5.74).
Bagaimanapun, pengkritik telah mempersoalkan kewajaran hukuman tersebut dan menyatakan hukuman tersebut seperti dibuat terlalu berat tidak setimpal dengan kesalahan yang dibuat. Mereka turut menyifatkan hukuman tersebut seperti ‘hukuman mati’.
Menerusi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan wilayah itu, kakitangan awam yang didapati mencuri, akan diberhentikan dari kerja. Pemecatan adalah tindakan paling berat diikuti dengan penggantungan kerja, pemotongan gaji dan amaran.
Seorang pegawai menyatakan, mereka membuat kesimpulan pemecatan wajar untuk kesalahan berulang selepas mengkaji kes terdahulu dan tindakan tatatertib mereka.
“Kami meninjau tindakan disiplin masa lalu dan membuat kesimpulan bahawa pemberhentian adalah sesuai untuk kesalahan berulang,” katanya.
Sumber: The Asahi Shimbun