Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kenaikan mendadak harga rumah dalam tempoh lebih sedekad, selain ribuan unit yang kekal tidak berpenghuni, mendorong pakar perumahan menggesa pelaksanaan cukai kekosongan hartanah di Malaysia.
Langkah ini dianggap sebagai mekanisme untuk mengimbangi pasaran yang dilihat lebih memihak kepada spekulasi berbanding keperluan rakyat sebenar.
Harga rumah naik melebihi kadar sihat
Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, K Theebalakshmi, menjelaskan bahawa lebihan rumah kosong telah memberi tekanan besar kepada golongan yang ingin memiliki kediaman pertama. Beliau turut berkongsi pemerhatian bahawa harga rumah di Malaysia meningkat sekitar 5.8% setahun bagi tempoh 2010 hingga 2022, kadar yang jauh lebih tinggi daripada paras pertumbuhan sihat yang biasanya berada dalam julat 3% hingga 4%.
Theebalakshmi memaklumkan cukai kekosongan bukan perkara baharu di peringkat antarabangsa. Di beberapa negara seperti Kanada, rumah yang tidak dihuni lebih enam bulan boleh dikenakan cukai sehingga 3% daripada nilai hartanah.
Melbourne di Australia pula memulakan kadar 1% pada tahun pertama kekosongan, manakala Singapura mengenakan cukai lebih tinggi bagi rumah yang tidak diduduki pemilik.
Data rumah kosong di Malaysia
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hampir satu daripada lima rumah di Selangor dan Pulau Pinang kekal kosong pada tahun 2020. Secara keseluruhan, lebih 53,000 unit tidak berpenghuni direkodkan di Pulau Pinang, manakala Selangor mencatat lebih 343,000 rumah kosong yang sebahagiannya masih belum menemui pembeli.
Setakat pertengahan 2024, data daripada Pusat Maklumat Hartanah Negara menunjukkan lebih 22,000 rumah siap masih belum terjual selama lebih sembilan bulan, dengan nilai keseluruhan mencecah RM14.24 bilion. Situasi ini memperlihatkan lebihan bekalan yang semakin kritikal terutama di kawasan bandar pesat.
Cadangan bendung spekulasi hartanah
Dalam laporan Free Malaysia Today, Dekan Fakulti Alam Bina Universiti Sains Malaysia, Azree Othuman Mydin, turut menyarankan beberapa langkah tambahan bagi membendung spekulasi hartanah.
Beliau berpandangan kadar cukai keuntungan harta tanah perlu dinaikkan bagi pemilik yang menjual unit dalam tempoh singkat selepas pembelian, supaya kecenderungan ‘flipping’ atau jual beli segera untuk keuntungan dapat dikurangkan.
Azree juga berpandangan pembeli yang membiarkan rumah mampu milik kosong tanpa alasan kukuh wajar dikenakan sekatan tertentu, termasuk larangan membeli projek perumahan kerajaan pada masa hadapan.
Pendekatan sebegini dianggap penting untuk memastikan unit perumahan benar-benar sampai kepada kumpulan pembeli yang memerlukan, bukan hanya dijadikan stok dagangan.