Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengerusi Cinta Salam Malaysia, Musa Nuwayri mengesahkan penyertaan cucu kepada bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, iaitu Nkosi Zwelivelile Mandela dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini sedang berlayar ke Gaza.
Menurut Musa dalam hantaran di laman Facebook rasminya, Nkosi Mandela tiba di kapal pada pagi Selasa dan sempat meluangkan masa berbual bersama peserta lain sebelum pelayaran bermula.
“Peserta terakhir yang akan bersama kami akhirnya tiba di kapal pagi tadi, Nkosi Mandela, cucu kepada Nelson Mandela. Beliau memeluk Islam pada tahun 2015 selepas lama bergaul dengan komuniti Muslim di Afrika dan sering bersama rakan-rakannya menunaikan solat Jumaat,” kata Musa.
Tambah beliau, Nkosi menyifatkan Islam sebagai agama yang dekat dengan budaya masyarakat mereka.
“Islam sangat dekat dengan budaya kami. Itu antara sebab utama saya tertarik pada Islam,” kata Nkosi seperti dipetik Musa.
Musa turut menyebut bahawa perjuangan keluarga Mandela terhadap isu Palestin sudah lama bermula, malah Nelson Mandela sendiri pernah menegaskan ketika menjadi presiden Afrika Selatan:
“Kami tahu bahawa kebebasan kami tidak akan pernah lengkap tanpa kebebasan rakyat Palestin,” katanya.
Baca juga:
- Ibu serah dua remaja kepada polis selepas rosakkan perpustakaan sekolah, rugi RM235,000
- Pemimpin sejati mesti tolak penindasan, perjuang hak manusia tanpa kira latar belakang – PM
- Alasan ‘ubat’ cuma helah, AADK sahkan ketum boleh sebabkan masalah mental
Tokoh berpengaruh sertai misi
Selain Nkosi, Musa memaklumkan beberapa tokoh berpengaruh turut berada dalam misi kali ini, antaranya aktivis alam sekitar Greta Thunberg, Yasemin Acar serta Ahli Parlimen Poland, Franciszek Wojciech.
Laporan Anadolu Agency (AA) sebelum ini turut mengesahkan penyertaan Nkosi Mandela dalam Global Sumud Flotilla yang menghimpunkan aktivis, ahli politik serta tokoh antarabangsa dari pelbagai negara. Misi ini bertujuan untuk menamatkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menghantar mesej solidariti kemanusiaan.
Dalam kenyataan kepada media, Nkosi juga menegaskan penyertaannya adalah kesinambungan daripada warisan perjuangan datuknya, Nelson Mandela.
Konvoi flotilla yang berangkat dari Tunisia itu kini menuju ke perairan antarabangsa dengan misi membawa suara solidariti global untuk rakyat Palestin.