Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan murid, guru dan anggota pelaksana diberikan pertimbangan kebenaran khas untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas.
Kebenaran tersebut berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa di institusi masing-masing.
“KPM prihatin terhadap penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangka.
“Institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mematuhi saranan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan seluruh warga institusi pendidikan,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut juga, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi bawah KPM diminta untuk melaksanakan langkah pencegahan seperti menangguhkan semua kegiatan luar bilik darjah, memantau aktiviti murid dan berwaspada serta bekerjasama dengan klinik atau hospital jika berlaku sebarang komplikasi ke atas murid dan lain-lain pencegahan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca panas ketika ini kekal sehingga pertengahan April berikutan kurangnya awan yang boleh membawa hujan serta fenomena ekuinoks.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata dalam tempoh ekuinoks yang menyaksikan jangka masa siang dan malam adalah sama, matahari berada tepat pada garisan Khatulistiwa dalam proses pergerakan dari hemisfera selatan ke hemisfera utara.
Dalam tempoh tersebut, suhu boleh mencecah antara 35 hingga 38 darjah celsius.
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia, Sinar Harian








