Colombia halau Diplomat Israel, tegaskan solidariti bersama Palestin | The Reporter

Colombia halau Diplomat Israel, tegaskan solidariti bersama Palestin

Presiden Colombia, Gustavo Petro, memegang pembesar suara dan mikrofon ketika berucap di hadapan orang ramai, diiringi pegawai keselamatan dan penasihat.
Tegas dan berani — Presiden Colombia Gustavo Petro halau diplomat Israel serta batalkan perjanjian perdagangan bebas, tanda solidariti bersama Palestin. | Kredit gambar: Reuters / Bing Guan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden Colombia, Gustavo Petro, mengambil langkah berani dengan mengumumkan penghalauan semua diplomat Israel dari negaranya.

Beliau turut membatalkan perjanjian perdagangan bebas dengan Tel Aviv selepas tentera laut Israel memintas Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan ke Gaza yang turut membawa dua wanita Colombia, Luna Barreto dan Manuela Bedoya.

Petro dakwa Israel langgar undang-undang antarabangsa

Petro menegaskan jika benar warganya ditahan, maka tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, merupakan jenayah antarabangsa yang baharu.

“Perjanjian perdagangan bebas dengan Israel dibatalkan serta-merta. Semua diplomat Israel mesti meninggalkan Colombia sekarang,” tegasnya.

Petro sebelum ini pernah berucap lantang di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyertai demonstrasi pro-Palestin sehingga menyebabkan visanya ke Amerika Syarikat ditarik balik.

Baca juga:

Colombia kecam penculikan, tegaskan solidariti bersama Palestin

Kementerian Luar Colombia mengesahkan keputusan tersebut dalam kenyataan rasmi, menyifatkan tindakan Israel sebagai penculikan di perairan antarabangsa yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva. Colombia turut menggesa Sepanyol, Ireland, Turki, Oman serta negara lain yang terlibat dalam flotilla supaya mengambil tindakan serupa terhadap Israel.

Dalam kenyataan sama, kementerian itu menekankan bahawa Colombia akan terus berdiri bersama rakyat Palestin.

“Colombia tegas solidariti dengan rakyat Palestin serta komitmen terhadap undang-undang antarabangsa, multilateralism dan keadilan global,” ujar kenyataan rasmi tersebut.

Hamas sambut baik tindakan

Keputusan Petro disambut baik oleh Hamas yang memuji ketegasan Colombia menentang dasar Israel.

“Kami menghargai langkah Presiden Petro menghalau Zionis dan membatalkan perjanjian perdagangan bebas. Tindakan ini membuktikan sokongan jelas kepada rakyat Palestin di tengah perang pemusnahan yang sedang berlaku,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Gerakan itu turut menyeru negara-negara Arab, Islam dan seluruh dunia untuk mengambil langkah sama dengan mengasingkan Israel serta mendesak agar jenayah terhadap Palestin dihentikan segera. – Agensi

Related Posts