Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular di media sosial baru-baru ini kisah seram melibatkan seorang pendidik dikenali sebagai Cikgu Nina, yang didakwa meninggal dunia selepas mengalami gangguan makhluk halus ketika menyewa sebuah rumah di Jalan Kebun, Selangor.
Kisah tersebut pada mulanya dikongsi sendiri oleh Cikgu Nina menerusi satu video TikTok yang menceritakan pengalamannya tinggal bersama seorang rakan serumah yang dikatakan berperilaku misteri. Menurut pengakuannya, beliau sering menghidu bau wangi dari rakannya itu dan mendapati individu tersebut kerap merenung tajam ke arahnya setiap kali berbual.
Situasi menjadi lebih mencemaskan apabila seorang rakan serumah baharu yang menyertai mereka menegur Cikgu Nina kerana sering bercakap seorang diri dan membeli tiga bungkus nasi walaupun hanya mereka berdua tinggal di rumah itu. Seorang jiran turut mendakwa seorang kanak-kanak lelaki pernah melihat Cikgu Nina bercakap sendirian.
Terkejut dengan kejadian tersebut, Cikgu Nina kemudian menghubungi pemilik rumah dan segera memaklumkan insiden aneh yang berlaku. Rakan serumah baharu itu juga dikatakan keluar dari rumah selepas menyedari keadaan yang menyeramkan itu.
Cikgu Nina meninggal dunia
Setelah dibawa berjumpa perawat oleh ibu bapanya, Cikgu Nina dimaklumkan bahawa ‘teman serumah’ yang dilihatnya sebenarnya merupakan pocong tidak bertuan yang meminta agar ikatan kain kafannya di bahagian kepala dibuka.
Beberapa hari selepas video itu dikongsikan, seorang TikToker yang mendakwa telah memuat naik semula kisah berkenaan dengan izin Cikgu Nina memaklumkan bahawa guru tersebut telah meninggal dunia. Maklumat itu katanya diterima daripada teman serumah cikgu Nina sebelum ini.
Walaupun ramai netizen meluahkan simpati dan berasa ngeri dengan kejadian yang didakwa menimpa Cikgu Nina, sebahagian besar daripada mereka mulai mempersoalkan kesahihan cerita tersebut.
Persoalkan kesahihan cerita
Antara yang dipertikaikan termasuklah ketiadaan sebarang gambar atau bukti lokasi kejadian, serta identiti sebenar Cikgu Nina yang tidak dapat disahkan. Seorang pengguna TikTok yang mendakwa sebagai penduduk sekitar Jalan Kebun turut mempersoalkan, mengatakan tiada sebarang berita mengenai kematian mana-mana cikgu di kawasan itu.
Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi sama ada kisah itu benar-benar berlaku atau sekadar kisah rekaan bersifat hiburan seram di media sosial.








