Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang TikToker yang mempunyai 1.5 juta pengikut hari ini menjadi perbualan hangat netizen di media sosial, susulan seorang wanita menyuarakan kebimbangannya mengenai tindakan guru berkenaan yang kerap memuat naik video para pelajarnya di platform tersebut.
Dalam ciapan di Twitter yang ditujukan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, pengadu mempersoalkan tindakan guru terbabit yang dirasakan tidak wajar untuk terus dilakukan, serta perlu dibendung segera kerana ia jelas melanggar peraturan.
Guru ini dapat kebenaran daripada ibu bapa pelajar?
“YBM, saya menerima video ini melalui aplikasi WhatsApp. Guru wanita (TikToker) ini menggeledah barangan (beg) para pelajar (sambil dirakam) dan muat naik video tersebut. Saya tidak tahu apa namanya di TikTok tetapi guru ini memakai lanyard sekolah,” katanya.
Segelintir netizen membidas tindakan pengadu yang dikatakan cuba memperbesarkan hal yang remeh. Tetapi pengadu menegaskan bahawa dia mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian.
“Spot check boleh rakam dan upload video di media sosial ke? Para pelajar tak boleh beri kebenaran. Guru ini ada dapat kebenaran daripada ibu bapa pelajar (untuk berbuat demikian)?
“Di akaun TikTok dia, hampir setiap hari ada video dirinya bersama pelajar.
“Sama ada (dia mengajar di) sekolah kerajaan atau swasta, semuanya terikat dengan peraturan di bawah Kementerian Pendidikan. Semua guru perlu memohon permit daripada kerajaan untuk mengajar,” tegasnya.
Pengadu mengakui dia tidak mengenali guru berkenaan tetapi tetap dengan pendiriannya bahawa apa yang dilakukan oleh guru itu adalah satu perbuatan yang tidak wajar.
Netizen berbelah bagi
Namun ada yang berpendapat apa yang dilakukan oleh guru itu tidak salah. Malah ramai yang menyukai caranya mendidik dan mendekati para pelajarnya. Yang mana, bukan semua guru berkebolehan untuk berbuat demikian.
Sementara itu, tidak kurang juga yang bersetuju dengan pengadu. Sejak kebelakangan ini semakin ramai guru yang membuat siaran secara langsung melalui aplikasi media sosial dan perbuatan itu dikhuatiri akan menyebabkan golongan guru hilang fokus untuk mengajar semasa berada di dalam kelas.
Sebilangan yang lain pula merasakan video tersebut hanyalah sekadar iklan produk vitamin sahaja berikutan guru berkenaan beberapa kali menunjukkan produk yang sama ditemui dalam beg pelajarnya.
Sumber: Twitter