PERINGATAN: Status di bawah adalah merupakan pandangan peribadi penulis sahaja dan tidak mewakili mana-mana institusi atau pihak yang lain.
Cadangan Kaedah Kepada Kerajaan Bagi Melindungi Kanak-Kanak Yang Tidak Berdosa
Negara dikejutkan dengan kemunculan semula wabak Difteria. Kita sama sekali tidak menyangka bahawa penyakit yang hampir kita basmi ini telah kembali menular dan meragut nyawa anak-anak kecil di negara kita.
Gerakan antivaksin seperti biasa akan menyalahkan Tuhan apabila berlakunya wabak yang boleh dihindari ini. Mereka kata, ini semua adalah kehendak Tuna. Sikap mereka yang sengaja mengambil risiko yang menggugat keselamatan awam tidak sedikit pun mereka sesali. Malah mereka pertahankan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikhabarkan sudah membuat perancangan untuk mewajibkan vaksin ke atas anak-anak. Kami para doktor yang bertauliah menyokong penuh rancangan KKM ini kerana anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa dan perlu dilindungi.
Banyak negara yang telah mewajibkan vaksin terhadap kanak-kanak dan sudah tiba masanya Malaysia juga turut serta dalam peperangan menyekat idealogi yang merosakkan umat manusia seperti golongan anti vaksin ini.
Malah, ada doktor kanak-kanak di negara barat yang enggan memberikan rawatan kepada kanak-kanak yang tidak divaksin, di klinik mereka kerana bimbang risiko penyakit berjangkit ke atas anak-anak lain di klinik mereka terutamanya kanak-kanak berimuniti lemah seperti pesakit kanser.
Bagi memastikan rancangan mewajibkan vaksin terhadap anak-anak ini berjaya, saya ingin memberikan beberapa cadangan tambahan seperti berikut:
1. TAK BOLEH MASUK SEKOLAH KERAJAAN
Kanak-kanak yang tidak divaksin tidak boleh menyertai sekolah di sekolah-sekolah kerajaan. Syarat wajib adalah menyertakan bukti kad rekod vaksin. Jika tidak divaksin, mereka perlu menjalani vaccine chase dahulu (Qada’ vaksin) sebelum dibenarkan menyertai sekolah.
2. KENAKAN YURAN LEBIH TINGGI ATAS RISIKO KESIHATAN
Ada pun bagi sekolah swasta dan sekolah antarabangsa, adalah terserah pada polisi masing-masing jika ingin membenarkan kanak-kanak tanpa vaksin menyertai mereka. Mereka boleh pertimbangkan mengenakan yuran yang lebih tinggi atas risiko kesihatan yang terpaksa mereka tanggung.
3. SURAT PERJANJIAN – KERAJAAN TAKKAN TANGGUNG KOS RAWATAN
Ibu bapa yang berdegil enggan berikan vaksin kepada anak mereka perlulah menandatangani Letter of idemnity (surat perjanjian) bahawa seandainya anak mereka jatuh sakit disebabkan penyakit berjangkit yang sepatutnya boleh dihindari dengan vaksin, kerajaan tidak akan menanggung kos rawatan kesihatan anak-anak mereka.
Sebaliknya, ibu bapa yang perlu menanggung kos sepenuhnya. Malah dicaj tiga kali ganda sebagai penalti di atas risiko kesihatan awam yang mereka bawa kepada masyarakat yang tidak berdosa.
4. SETUJU SECARA OTOMATIK
Keengganan ibu bapa menandatangani surat perjanjian di perkara no 3 dalam tempoh 30 hari adalah dianggap sebagai persetujuan terhadap perjanjian secara otomatik.
5. KENAKAN CUKAI 15% TERHADAP IBU GOLONGAN ANTI VAKSIN
Cukai pendapatan terhadap ibu bapa golongan akti vaksin mestilah lebih tinggi daripada masyarakat awam. Sebagai contoh, orang awam dikenakan 11%, golongan anti vaksin dikenakan 15%. Ini umpama bayaran premium insurans yang lebih tinggi oleh golongan yang berisiko tinggi kerana mereka memberikan ancaman biologi terhadap masyarakat awam.
6. PERKETATKAN SYARAT PENGAMBILAN INSURANS
Syarikat-syarikat insurans perlulah meletakkan syarat bahawa anak-anak yang diinsuranskan harus menjalani imunisasi kecuali bagi mereka yang mendapat perlepasan atas kebenaran doktor (atas sebab kesihatan seperti kanser). Syarikat insurans berhak untuk menolak membayar pampasan seandainya anak-anak menghidap penyakit berjangkit yang boleh dihindari dengan vaksin.
7. TINDAKAN TEGAS TERHADAP DOKTOR YANG BERSUBAHAT
Beberapa bulan lalu ada isu yang timbul mengenai pemalsuan vaksin haji dan umrah oleh golongan anti vaksin. Sepanjang pengetahuan saya, tiada doktor-doktor kerajaan atau swasta yang berkompromi dalam isu vaksin yang melibatkan kanak-kanak.
Namun, memandangkan ada juga risiko pemalsuan dokumen bagi mengesahkan vaksinasi kanak-kanak sudah diberikan oleh sesetengah golongan yang tidak amanah dan berektika, mana-mana doktor yang mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) perlulah ditarik lesen amalan perubatan mereka serta merta jika didapati bersubahat dengan golongan anti vaksin.
Mereka boleh menukar profesion mereka menjadi penjual makanan organik, bersesuaian dengan perbuatan mereka yang mengkhianat terhadap ilmu perubatan.
Saya kira ibu bapa golongan anti vaksin tidak akan mempunyai masalah bersetuju dengan semua cadangan tambahan di atas memandangkan mereka juga yakin sepenuhnya bahawa anak-anak mereka lebih sihat tanpa vaksin.
Juga, apa salahnya berkorban sedikit demi ‘kebaikan’ anak-anak mereka yang terselamat dari ‘racun’ vaksin dan konspirasi yahudi zionis, Israel, rockerfella, illuminati dan sebagainya. – Doktor Abdul Rahman | PIXEL MEDIA