Buli & cacah tatu pada 2 pelajar junior, remaja berusia 16 tahun didakwa di mahkamah - The Reporter

Buli & cacah tatu pada 2 pelajar junior, remaja berusia 16 tahun didakwa di mahkamah

Seorang remaja berusia 16 tahun dari Korea Selatan telah dituduh secara paksa melukis tatu pada dua rakan sekolahnya yang lebih muda. Dia didakwa telah membuli mereka selama beberapa tahun.

Kes buli tersebut telah menjadi berita utama di Korea Selatan dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan ibu bapa. Jabatan Polis Incheon Nonhyeon mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat kes itu di mana pelaku melukis tatu pada dua remaja yang lebih muda sebagai cara untuk mempraktikan kemahiran melukis tatu.

Difahamkan, ibu bapa mangsa pertama mengemukakan aduan pada bulan Mac, setelah secara tidak sengaja menemui tatu yang besar di kaki anak mereka dan percaya perkara ini dilakukan oleh seorang amatur. Setelah diselidiki, mereka mendapati mangsa telah ditatu secara paksa oleh rakan sekolah yang telah membulinya sejak dua tahun lalu.

Mangsa berusia 15 tahun yang tidak didedahkan namanya itu memberitahu penyiasat bahawa, tertuduh telah memanggilnya di sebuah motel di Incheon pada Oktober tahun lalu, di mana dia terus menyerangnya dan kemudian melukis tatu pada mangsa mengikut sesuka hatinya.

Mangsa turut mendakwa budak lelaki yang sama telah memukul dan mengambil wangnya. Dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa membiarkan dirinya ditatu dengan lukisan ikan karp sepanjang 22 cm di bahagian kaki.

Selepas tuduhan terhadap remaja berusia 16 tahun itu dibocorkan kepada media, seorang lagi mangsa berusia 15 tahun turut tampil mendedahkan dia dibuli oleh individu yang sama di mana badannya telah dicacah tatu yang lebih besar di bahagian dada, bahu dan lengannya.

Walaupun ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis, kejadian buli itu masih berlaku menyebabkan mangsa trauma dan enggan hadir ke sekolah, selain memerlukan rawatan terapi selama 6 bulan. Keluarga mangsa juga memasang kamera litar tertutup (CCTV) kerana yakin pembulinya akan kembali mengulangi perbuatannya itu.

Bagaimanapun, suspek menafikan kesemua pertuduhan tersebut dan menegaskan kedua-dua mangsa telah bersetuju dengan lukisan tatu itu. Malah, kenyataan suspek juga disokong oleh ahli keluarganya sambil menambah bahawa adalah mustahil untuk memaksa dua remaja berkenaan untuk menjalani prosedur yang menyakitkan itu memakan masa yang lama.

Suspek berusia 16 tahun itu kini menghadapi tuduhan paksaan/buli dan melanggar undang-undang perubatan Korea Selatan yang menyatakan bahawa tatu hanya dapat dilakukan oleh golongan perubatan profesional.

Sumber: Oddity Central

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!