PETALING JAYA – Gerai Nasi Lemak GAY yang beroperasi sejak Januari 2017 terpaksa berhenti beroperasi sementara setelah menerima pelbagai kecaman di media sosial, lapor Malay Mail Online.
Pemiliknya, Adi Yusuf berkata, gerai nasi lemaknya itu bukanlah bermaksud lelaki gay atau homoseks, tetapi GAY adalah singkatan kepada Gerai Adi Yusuf.
“Saya tidak menyangka ia kecoh satu Malaysia. Saya terus dikecam. Kuasa media sosial amat menakutkan,” katanya memetik laporan dari mStar Online.
Ekoran itu, Adi terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti berniaga buat sementara waktu dan mahu menunggu ia reda dahulu.
“Saya bukan letak nama Nasi Lemak Gayboy pun. Saya tidak menyangka masyarakat terus menghina saya dan menjatuhkan hukum tanpa usul periksa,” katanya.
Gerai nasi lemak Adi beroperasi setiap pagi di Taman Segar, Cheras yang menjual nasi lemak pada harga RM2, nasi lemak kerang (RM4) dan nasi lemak ayam (RM5) selain turut menjual beberapa jenis makanan lain untuk sarapan seperti bihun goreng, mi goreng, kueh teow goreng dan kuih muih.
Walaupun pemiliknya telah membuat penjelasan tersebut, netizen masih mempertikaikan kewajaran Adi memilih menggunakan perkataan ‘GAY’ dan bendera yang sinonim dengan LGBT di bunting yang digunakan untuk gerainya itu. – The Reporter