'Bukan 50, tapi 200 luka tikaman pada anak saya' – Ibu mangsa | The Reporter

‘Bukan 50, tapi 200 luka tikaman pada anak saya’ – Ibu mangsa

Ibu kepada pelajar perempuan yang maut di sekolah Bandar Utama tampil menjelaskan laporan sebenar dan menafikan dakwaan tular.
Gambar: The Star

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ibu kepada pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada Selasa lalu mendedahkan laporan bedah siasat menunjukkan anaknya mempunyai kira-kira 200 kesan tikaman di seluruh badan.

Wong Lee Ping, ibu kepada mendiang Yap Shing Xuen, 16, berkata laporan itu diperoleh daripada bahagian patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Saya dapat tahu daripada pihak patologi bahawa anak saya ditikam sebanyak 200 kali. Ada luka besar dan kecil di bahagian kanan badan termasuk leher dan paru-paru,” katanya.

Beliau turut menjelaskan banyak laporan tular di media sosial berhubung kejadian itu tidak benar dan mengguris hati keluarga, termasuk dakwaan kononnya anaknya dirogol atau mengenali suspek.

“Anak saya tidak pernah berjumpa dan berhubung dengan suspek. Saya harap orang ramai hentikan penyebaran berita palsu ini,” tegasnya.

Baca juga:

Menurutnya, hasil siasatan polis memaklumkan suspek melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang berada di dalam tandas berkunci.

“Anak saya sempat menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lee Ping menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan pautan kod QR palsu yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih derma, dan meminta mereka yang ingin menyumbang supaya hadir terus ke Nirvana Center.

Beliau turut menyifatkan anak bongsunya itu sebagai pelajar aktif dan berdisiplin, aktif dalam sukan bola tampar dan badminton serta baru sahaja memenangi tempat kedua dalam kejohanan badminton dua hari sebelum kejadian.

Selasa lalu, satu insiden tragis dilaporkan berlaku apabila seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua bertindak menikam rakan sekolahnya hingga mati. Hasil bedah siasat mendapati tikaman pada dada dan leher menjadi punca kematian mangsa.

Related Posts