Budak patah kaki, bayi berusia 40 hari alami pendarahan di kepala akibat dicampak dari tingkat 1, dihempas oleh bapa saudara yang terdengar bunyi bisikan - The Reporter

Budak patah kaki, bayi berusia 40 hari alami pendarahan di kepala akibat dicampak dari tingkat 1, dihempas oleh bapa saudara yang terdengar bunyi bisikan

Gambar sekadar hiasan sahaja

Dua beradik mengalami kecederaan akibat dianiaya oleh bapa saudaranya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang, Georgetown.

Lapor Harian Metro, kanak-kanak berusia tiga tahun mengalami patah kaki dan cedera di mulut selepas dicampak dari tingkat satu oleh bapa saudaranya.

Manakala adiknya, bayi perempuan berusia 40 hari juga mengalami pendarahan di kepala, dipercayai dihempas ke lantai oleh suspek.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku pada jam 3.40 petang dan suspek berusia 29 tahun itu terdahulu mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum menyerang dua beradik berkenaan.

Abang suspek, Taiyoob, 31, berkata, dia terdahulu terdengar jeritan ibunya yang meminta tolong dan terkejut apabila mendapati adiknya berada dalam keadaan bogel serta berlumuran darah.

Dia kemudian segera mendapatkan bantuan daripada jiran untuk menenangkan suspek. Manakala ahli keluarga yang lain pula menyelamatkan dua beradik itu lalu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Taiyoob, adiknya mengalami masalah kesihatan sejak dua bulan lalu dan sedang menjalani rawatan tradisional. Pada waktu kejadian, adiknya mengaku terdengar ‘bunyi bisikan’ yang mendorongnya bertindak sedemikian.

Difahamkan, dua beradik itu tinggal di rumah ibu Taiyoob, yang juga merupakan nenek mereka, sementara ibu dua beradik itu sedang menjalani tempoh berpantang.

Justeru, Taiyoob meminta orang ramai tidak menularkan kejadian itu untuk menghormati dan menjaga privasi keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan kejadian itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!