Budak 9 tahun tinggal sendirian selama 2 tahun, selepas ibu pindah ke rumah teman lelaki - The Reporter

Budak 9 tahun tinggal sendirian selama 2 tahun, selepas ibu pindah ke rumah teman lelaki

Gambar hiasan (Artificial Intelligence)

Media Perancis baru-baru ini melaporkan tentang kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun yang terpaksa hidup bersendirian dalam sebuah pangsapuri, selama dua tahun setelah ibunya berpindah dan tinggal bersama teman lelaki, yang tinggal 5 kilometer dari kediamannya.

Kanak-kanak tersebut yang tidak didedahkan namanya, selama ini bertahan dengan makanan manis, makanan dalam tin dan sumbangan dari jiran-jiran yang prihatin. Sementara itu ibunya tinggal di rumah teman lelakinya yang selesa di Sireuil.

Hidup sendirian selama 2 tahun

Difahamkan wanita berkenaan hanya datang sekali sekala untuk memeriksa keadaan anaknya dan membawa beberapa makanan. Tetapi dia tidak pernah tinggal lama dan tidak pernah membawa anaknya untuk tinggal bersama di Sireuil.

Apabila polis memasuki kediaman kanak-kanak tersebut di sebuah bangunan perumahan berpendapatan rendah di Nersac, mereka mendapati peti sejuk kosong, tong sampah penuh dengan pembalut kek dan tin makanan kosong. Malah tiada tanda-tanda kehadiran orang dewasa, tiada pakaian, tiada kasut, dan tiada berus gigi.

Selepas menyoal siasat kanak-kanak itu, polis mengesahkan anak malang itu telah hidup bersendirian selama dua tahun dan ibunya jarang datang melawat.

Polis kemudian berjaya mengesan ibunya, Alexandra, di rumah teman lelakinya di Sireuil, di mana jiran-jiran tidak mengetahui bahawa dia mempunyai seorang anak.

Nafi abaikan anak

Walau bagaimanapun, Alexandra dengan tegas menafikan dakwaan kononnya dia telah meninggalkan anaknya. Sebaliknya mendakwa anaknya tinggal bersama dengannya.

Apabila hakim bertanya mengapa anaknya menuduh dia telah meninggalkannya selama dua tahun, Alexandar menjawab, “Saya tidak tahu mengapa dia berkata begitu.”

Tiada satu pun perkara yang dikatakan oleh Alexandra konsisten. Dia menuduh jiran-jiran yang mengesahkan cerita anaknya sebagai ‘orang yang bermasalah’, dan menegaskan bahawa dia menghantar anaknya ke sekolah setiap hari. Namun data penjejakan telefon bimbitnya pula menunjukkan sebaliknya. “Saya selalu terlupa telefon saya di rumah,” jelasnya.

Putuskan hubungan dengan anak

Sejak kanak-kanak lelaki itu diletakkan dalam jagaan pengasuh tahun lalu, Alexandra hanya pergi melawatnya dua kali. Dan kini dia telah memutuskan hubungan dengannya.

Seorang hakim baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara tergantung selama 18 bulan terhadap Alexandra kerana mengabaikan anaknya. Tetapi dia hanya perlu memakai gelang kaki elektronik selama enam bulan.

Seorang pendidik menggambarkan anak lelaki itu sebagai ‘sangat matang, sangat tahan lasak, dan berdikari’. Mengingat kesukaran yang perlu dia hadapi – bertahan musim sejuk tanpa pemanas, terpaksa menutup dirinya dengan beberapa duvet pada waktu malam, dan terpaksa mandi dengan air sejuk atau hidup dalam kegelapan, kerana kebanyakan masa dia tidak mempunyai pemanas atau elektrik – mudah untuk memahami mengapa dia matang dengan cepat.

Yang mengejutkan, walaupun situasinya kehidupannya amat menyedihkan, kanak-kanak itu tidak pernah gagal hadir ke sekolah setiap hari. Malah prestasi akademiknya juga sangat baik dalam kelas, sehingga gurunya tidak pernah mencurigai apa-apa.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!