Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sekitar jam 3.40 petang semalam, kakitangan dan pelawat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diarah untuk mengosongkan bangunan tersebut susulan penemuan bungkusan yang mencurigakan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysian (JBPM) mengesahkan menerima panggilan kecemasan menyatakan berlaku ancaman bom di kementerian itu di Presint 5, Putrajaya.
Susulan itu, polis mengesahkan bungkusan yang dialamatkan kepada Menteri Pelancong, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing adalah sebagai ancaman bom palsu.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, A.Asmadi Abdul Aziz, perkara itu disahkan setelah Unit Pemusnah Bom menjalankan pemeriksaan menggunakan dua ekor anjing pengesan dan teknologi.
“Kita dapati ialah bom palsu yang hampir menyerupai bom,” katanya.
Dihantar melalui kurier J&T
Katanya, menerusi rakaman kamera litar tertutup, bungkusan berisi bahan letupan menyerupai bom itu dihantar menerusi kurier J&T pada jam 11.19 pagi Rabu.
“Kita dapat maklumat pertama jam 3.21 petang dari panggilan daripada MERS 999 dan saya sendiri menerima panggilan daripada menteri mengenainya.
“Bungkusan tersebut diambil dan dibawa naik ke tingkat 14 pada jam 2.45 petang dan apabila dibuka didapati ia diletakkan bersama paip polyvinyl chloride (PVC), wayar dan ‘timer’,” katanya.
Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan dan Bahan Api 1957.
Dalam pada itu A.Asmadi menegaskan polis akan melihat segenap sudut termasuk ketenteraman awam dan ugutan serta tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
“Pihak yang mempunyai maklumat diminta agar tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.
“Kita tidak mahu sebarang spekulasi dibuat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Awani








