Bila Dah Sakit Gigi Sampai Bengkak Pipi, Baru Nak Jumpa Doktor

Sahabat saya habis kerja lambat pada malam semalam. Bukan berhempas pulas menyelamatkan pesakit tenat, tetapi mencari gigi pesakit yang tercabut dan hilang semasa pembedahan. 
Kesedaran kesihatan gigi dan gusi amat rendah di kalangan masyarakat kita. Minda mereka masih sama dengan minda sewaktu zaman batu dulu. Nak berjumpa dengan doktor gigi ibarat berjumpa dengan malaikat maut. Bila sudah tidak tahan dengan sakit separuh nyawa, barulah mereka datang berjumpa dengan doktor gigi.
Hasilnya, ramai pesakit (walaupun masih muda) datang dengan gigi yang buruk. Ada yang bergigi tiang gol (2 batang gigi di depan), ada yang tinggal gigi tiang bendera (sebatang gigi di depan). Itu pun sudah bergoyang, sekali bersin pun boleh tercabut. Tetapi nak senyum manis punya pasal, dibela juga gigi nan setunggul itu. 
Bila datang ke hospital untuk apa jua jenis pembedahan, berpeluh doktor bius nak beri bius tidur. Sudahlah susah nak mencari anak tekak (vocal cord) semasa intubasi, nak jaga gigi mahal pesakit pula supaya tidak tertanggal. 
Gigi buruk kalau tercabut semasa dibius boleh menjadi satu masalah. Paru-paru boleh kempis (collapse) dan pesakit boleh mengalami masalah penafasan kemudiannya. Silap-silap boleh menjadi biru jika tersekat di bronkus.
Sudahnya, sahabat saya berusaha meneropong anak tekak dan membuat x-ray di tengah malam buta nak mencari gigi. Risau gigi itu termasuk dalam paru-paru. Kalahkan nak mencari intan berlian yang hilang. Padahal nak mencari tunggul gigi buruk saja. Aduhai!
Gigi anda Tuhan berikan secara percuma, namun jika ianya tidak dijaga, ia boleh menyebabkan anda berhabis ribuan ringgit untuk membaiki dan menggantikannya.
Tahukah anda yang kesihatan gigi dan gusi berkait rapat dengan kesihatan organ dalaman anda terutamanya jantung? Ramai pesakit saya yang mempunyai 3 serangkai rata-rata bergigi buruk atau bergigi palsu terus.
Jadi, jagalah kesihatan gigi anda mulai sekarang. Berus dan floss dengan cara yang betul. Kalau dapat bersiwak, lebih bagus kerana ia terbukti memelihara kesihatan gusi. 
Berhentilah merokok kerana ia boleh merosakkan gigi dan gusi. Lakukan pemeriksaan berkala 6 bulan sekali. Bukannya bila sudah merasa sakit gigi sampai bengkak sebelah muka baru terhegeh-hegeh mencari doktor gigi.
Gunakan kemudahan klinik pergigian kerajaan secara maksimum. Perkhidmatan mereka adalah yang terbaik dalam negara. Sungguh tak tipu! – Hana Hadzrami | PIXEL MEDIA
Total
0
Shares
Related Posts