‘Bila-bila masa Allah boleh tarik pangkat kita, nak sombong sampai bila?’ - Bekas Inspektor - The Reporter

‘Bila-bila masa Allah boleh tarik pangkat kita, nak sombong sampai bila?’ – Bekas Inspektor

Bekas inspektor kongsi pengalaman ketika bertugas di PDRM. Akui ramai yang gila hormat/pangkat tak kira muda atau tua.

Beberapa hari lalu tular mengenai seorang wanita yang merupakan seorang anggota polis dirakamkan mengeluarkan kata-kata kesat berbentuk hinaan kepada anggota bawahan.

Namun menurut seorang bekas anggota polis, itu hanyalah salah satu contoh yang terlihat di mata kasar sedangkan hakikat sebenar masih ramai yang bersikap demikian.

“Sehari dua ni kecoh pasal sorang inspektor polis wanita yang terlalu sombong dan bangga sangat dengan pangkatnya. Seolah-olah dia punya “level” tu paling tinggilah berbanding dengan manusia lain kat dalam dunia. Ini cuma satu contoh yang kita nampak saja.

“Sebenarnya banyak je lagi orang yang perangai sama seperti dia dekat lain-lain agensi samada kerajaan mahu pun swasta,” tulisnya.

Kena tabik orang sama lebih 10 kali

Beliau juga berkongsikan pengalaman ketika berkhidmat sebagai Inspektor Percubaan di mana dia melihat situasi ini seolah seperti satu penyakit mengejar pangkat dan kuasa.

“Dulu masa aku Inspektor Percubaan pun, banyak pegawai atasan yang gila pangkat ni aku dah jumpa. Kalau boleh setiap kali kita lalu depan dia mesti kena tabik dan beri salam hormat padanya.

“Kadang sehari tu sampai dekat 10 kali kena beri tabik hormat kat orang yang sama. Agaknya kalau tak ada orang beri tabik hormat, maka tak nyenyak tidur malam kot rasanya orang yang macam ni.

“Penyakit gila hormat dan gila pangkat ni ianya tak kira usia. Semua golongan baik yang muda atau pun yang dah berusia pun sama saja,” katanya.

Nak sombong sampai bila?

Tambahnya lagi, status gelaran dan pangkat bukan sebagai satu ukuran dan lesen untuk berbuat apa sahaja tetapi gunakan sebagai satu penghormatan yang boleh dijadikan ikutan anggota dan pegawai bawahan.

“Berpada-padalah dengan jawatan dan pangkat yang ada di bahu tu. Sampai masa bila dah pencen nanti tak ke mana pun pangkat yang kita ada tu.

“Faktor gelaran, pangkat, seniority dan usia bukanlah lesen untuk buat apa yang kita suka. Jagalah maruah anggota dan pegawai bawahan kita.

“Ikutlah seperti resminya padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi. Darjat, pangkat, kekayaan dan kemasyhuran hanyalah pinjaman sementara.

“Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik dari kita. Nak sombong sampai bila? Nafas tu pun Allah pinjamkan pada kita. Sampai masa ke tanah juga kita.

“Ingat pesan ini, orang bawah akan terus mengingati dan menghormati kita bukan kerana pangkat kita, bukan dari sebab harta kita dan bukan juga dari usia kita tapi dari cara kita menyantuni dan menghormati mereka yang berada di bawah kita.

“Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Manakala mereka yang selalu merendah diri dalam hidup sentiasa akan menemui ketenangan dalam jiwanya,” katanya.

Sumber: Mohd Ezairol Rezan Zainol

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!