Betul ke vaksin bahaya? Ini 10 fakta sebenar tentang vaksin COVID-19 | The Reporter

Betul ke vaksin bahaya? Ini 10 fakta sebenar tentang vaksin COVID-19

Fakta sebenar tentang vaksin COVID-19 untuk menjelaskan salah faham.
Ketahui 10 fakta sebenar tentang vaksin COVID-19 yang sering disalah anggap. | Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penafian: Artikel ini mencerminkan pandangan peribadi Farid dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi The Reporter.

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, vaksin menjadi ikhtiar utama dalam usaha mengekang penularan virus yang merbahaya ini. Namun, pelbagai tanggapan dan salah faham mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin terus menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

Dalam usaha meluruskan kekeliruan ini, adalah penting untuk memahami fakta sebenar berdasarkan bukti saintifik dan data yang sahih.

Berikut adalah 10 fakta yang dapat membantu menjelaskan isu ini dengan lebih jelas dan rasional.

10 Fakta Sebenar Tentang Vaksin

  1. 97.4% Populasi Dewasa Malaysia Lengkap Divaksin
    Jika vaksin benar-benar berbahaya seperti yang didakwa, sudah tentu ramai yang tumbang merata. Namun, hakikatnya bandar kekal sesak, pusat membeli-belah penuh, acara hiburan berlangsung meriah, dan populasi dunia terus meningkat. Ini membuktikan bahawa kesan sampingan serius amat jarang berlaku. Sebaliknya, majoriti yang divaksin hidup aktif seperti biasa.
  2. Reaksi Badan Berbeza-Beza
    Setiap individu mempunyai reaksi badan yang berbeza terhadap ubat dan vaksin. Seperti alergi ubat cacing atau ketidakserasian dengan Panadol, vaksin juga boleh memberi kesan sampingan kepada sebilangan kecil individu. Namun, ini tidak bermakna vaksin berbahaya untuk semua orang.
  3. Tiada Jaminan Kesempurnaan
    Vaksin COVID-19 diibaratkan seperti menanam berjuta-juta pokok – tidak semua akan tumbuh sempurna. Sama seperti ubat bius yang boleh menyebabkan alahan teruk kepada sesetengah individu, tetapi majoriti tiada masalah. Setiap ubat ada kesan sampingannya, namun manfaatnya jauh lebih besar dalam mencegah penyakit yang serius.
  4. Gaya Hidup Tidak Sihat Punca Penyakit
    Ramai yang menyalahkan vaksin apabila jatuh sakit, tanpa menyedari faktor risiko lain seperti merokok, minuman manis berlebihan, kurang bersenam, dan tidur lewat. Penyakit seperti serangan jantung sudah wujud sebelum pandemik dan tidak semua kematian boleh dikaitkan dengan vaksin.
  5. Kesan Jangka Panjang COVID-19 Diabaikan
    Kesan jangka panjang COVID-19 lebih serius dan meluas berbanding kesan sampingan vaksin. Masalah seperti keletihan berpanjangan, gangguan pernafasan, dan kerosakan organ dilaporkan dalam kalangan pesakit COVID-19. Namun, ramai yang menyalahkan vaksin tanpa mempertimbangkan kesan ini.
  6. Vaksin Bukan Perkara Baru
    Vaksin telah digunakan sejak dahulu kala untuk mencegah wabak penyakit seperti polio dan campak. COVID-19 tidak terkecuali, dan saintis di seluruh dunia berganding bahu mencipta vaksin bagi melindungi populasi global.
  7. Konspirasi dan Agenda Yahudi?
    Dakwaan konspirasi seperti ‘agenda Yahudi’ sering dikaitkan dengan vaksin. Namun, hakikatnya Israel menyekat penghantaran vaksin ke Gaza. Jika benar ada ‘agenda jahat’, mengapa negara-negara tertentu disekat daripada menerima vaksin?
  8. Tajuk Berita Mengelirukan
    Sesetengah tajuk berita ditulis secara sensasi untuk menarik perhatian. Malangnya, ini boleh menimbulkan salah faham jika pembaca hanya membaca tajuk tanpa meneliti kandungan penuh. Penting untuk membaca keseluruhan artikel sebelum membuat kesimpulan.
  9. Sumber Berita Tidak Sahih
    Maklumat palsu tentang vaksin sering disebarkan di media sosial seperti TikTok dan Facebook. Pastikan maklumat diambil daripada sumber yang berautoriti dan boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
  10. Jangan Mudah Terpedaya Dengan Headline
    Baru-baru ini, timbul dakwaan bahawa pencipta vaksin mengaku kesilapan mereka. Namun, tiada kenyataan rasmi daripada AstraZeneca atau Pfizer mengenai perkara tersebut. AstraZeneca menghentikan pengeluaran vaksin atas sebab komersial kerana terdapat versi yang lebih efektif untuk varian baru.

Nota Kaki:

Pengalaman Peribadi

Saya dan keluarga sudah mengambil dos penggalak vaksin COVID-19. Alhamdulillah, dengan izin Allah, kami sekeluarga kekal sihat sehingga hari ini. Jika benar vaksin itu berbahaya, sudah tentu kesannya akan dirasai oleh kami juga.

Detox Sellers Manipulasi Maklumat

Peniaga produk ‘detox’ sering menyebarkan berita palsu tentang vaksin untuk melariskan jualan mereka.

Farid
Pegawai Perubatan

Related Posts