Berjaya Food rugi RM291 juta, akui terjejas kesan boikot & penutupan kedai | The Reporter

Berjaya Food rugi RM291 juta, akui terjejas kesan boikot & penutupan kedai

Papan tanda bulat Starbucks berwarna hijau dan putih tergantung di hadapan sebuah kedai.
Logo Starbucks terpampang di luar kedai, simbol ikonik jenama kopi global ini. | Gambar hiasan

Berjaya Food Bhd (BFood), pengendali rangkaian Starbucks Malaysia, Kenny Rogers Roasters dan Paris Baguette, menutup tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) dengan kerugian bersih RM291.9 juta, hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding RM90.9 juta pada FY24. Hasil tahunan turut merosot 36.5% kepada RM476.8 juta daripada RM750.7 juta tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat, kerugian bersih meningkat kepada RM185.8 juta berbanding RM38.2 juta setahun lalu, manakala hasil menurun 11.2% kepada RM115.9 juta. Syarikat menjelaskan kerugian besar ini berpunca daripada susut nilai aset kedai yang tidak lagi berdaya maju, selain jumlah kedai beroperasi yang semakin berkurangan.

Boikot pengguna antara punca utama

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, BFood turut mengakui prestasi syarikat terjejas oleh sentimen berpanjangan ekoran konflik Timur Tengah, yang membawa kepada kempen boikot pengguna terhadap beberapa jenama global termasuk Starbucks. Kesan langsung boikot ini dilihat melalui penurunan jumlah pelanggan, hasil jualan yang menyusut serta keputusan untuk menutup beberapa cawangan.

“Strategi kami ke depan adalah memperluas kehadiran digital dan media sosial, disokong pengalaman di kedai fizikal yang lebih menarik untuk memperkukuh hubungan dengan pelanggan.

“Kami juga akan mengukuhkan perniagaan teras, meningkatkan daya tahan, dan memperluas operasi antarabangsa bagi membuka peluang baharu kepada pemegang saham,” kata BFood.

BFood ketika ini menguruskan jenama seperti Starbucks Malaysia, Kenny Rogers Roasters, Paris Baguette, Joybean dan KELAVA, yang kekal sebagai tunjang kepada strategi jangka panjang meskipun berdepan cabaran pasaran.

Sumber: Malay Mail, The Merdeka Times

Related Posts