KUALA LUMPUR – Setelah dua minggu program dan peserta Clever Girl dikecam netizen, akhirnya penerbit program itu tampil meminta netizen berhenti daripada mengecam peserta yang dianggap kurang cerdik ketika menjawab soalan yang diajukan kepada mereka dalam dua episod yang lalu, lapor Berita Harian.
Shazreena Kassim menegaskan bahawa kesemua peserta yang dipilih mempunyai tahap IQ yang tinggi. Namun, disebabkan rasa gemuruh menyebabkan sesetengah peserta menjadi gugup berdepan dengan ujian yang diberi.
“Sebagai penerbit yang mengendalikan program baharu itu, segala kritikan diterima dengan hati terbuka. Cuma, jangan kecam peserta secara melampau. Mereka sangat bijak sebenarnya, cuma kerana gugup, jawapan betul patut diberikan menjadi salah pula,” katanya.
Jelas Shazreena lagi, mengatasi sifat gemuruh juga adalah antara ujian bagi peserta dan ia mampu memberikan fokus yang penuh dalam melunaskan tugasan yang diberi. – PIXEL MEDIA