Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pakar motivasi memberi ceramah untuk menginspirasi serta membantu orang mengenal pasti matlamat, mengatasi halangan dan meningkatkan keyakinan diri dalam pelbagai aspek kehidupan. Namun, pada zaman ini adakah mereka benar-benar ikhlas atau sekadar menjual air liur untuk mendapatkan keuntungan sahaja?
Joe Rogan, seorang pelawak dan pengacara podcast terkenal, baru-baru ini menyuarakan pendapatnya mengenai mengapa orang harus berhenti memberikan ucapan motivasi.
Beri harapan palsu
Dalam satu episod podcastnya, Rogan menyatakan ucapan motivasi sering kali memberikan harapan palsu dan tidak membantu orang mencapai matlamat mereka dengan cara yang nyata.
Menurut Rogan, banyak ucapan motivasi hanya mengulangi nasihat yang sama tanpa memberikan panduan praktikal yang boleh diikuti.
‘Rompak wang orang’
“Kebanyakan orang yang memberi ceramah motivasi sepatutnya berhenti. Mereka patut berhenti, kamu hanya merompak wang orang. Sedangkan kamu sendiri pun tidak bermotivasi.
“Saya nak bangunkan kamu bangun seawal jam 3 pagi. Ayuh, kita pergi berjoging. Saya nak tengok apa yang kamu lakukan apabila kamu penat. Biar saya lihat sendiri bagaimana kamu mendorong diri kamu. Ayuh, bangun lagi esok dan hari-hari yang seterusnya, teruskan bangun dan teruskan usaha.
“Berapa lama kamu boleh kekalkan sikap positif? Kamu mengajar orang, tetapi kamu sendiri tak mampu buat. Kamu perlu tunjukkan kepada orang bahawa kamu boleh melakukannya,” katanya.
Fokus pada disiplin diri
Beliau juga menekankan, kejayaan memerlukan usaha yang konsisten dan kerja keras, bukan sekadar mendengar kata-kata inspirasi.
Rogan percaya setiap individu perlu fokus pada tindakan nyata dan disiplin diri untuk mencapai kejayaan, bukannya bergantung kepada ucapan motivasi yang mungkin tidak relevan dengan situasi mereka.
Pandangan Rogan ini telah mencetuskan perbincangan hangat di kalangan peminatnya dan masyarakat umum. Ada yang bersetuju dengan pendapatnya, manakala yang lain berpendapat bahawa ucapan motivasi masih mempunyai tempat dalam membantu orang mencari inspirasi dan semangat untuk berubah.








