Seorang pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah menengah di Alor Gajah bertindak mengejar tiga rakannya sambil memegang pisau pemotong kertas selepas dipercayai menjadi mangsa buli.
Memetik laporan Sinar Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang Khamis ketika program sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas suspek berusia 13 tahun berang apabila beberapa kali dibaling ais oleh dua pelajar lain.
Menurutnya, dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dipercayai membaling ais berulang kali ke arah suspek sebelum pelajar terbabit mengeluarkan pisau pemotong kertas dari bekas pensilnya dan mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter sehingga ke kawasan surau sekolah.
Baca juga:
- ‘Perbuatan vandalisme rumah ibadat di Bukit Tinggi tidak boleh diterima – Young Syefura
- Veteran DAP persoal tindakan tutup kilang kerana bendera terbalik
- UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal
Beliau berkata, dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang dicederakan, namun keadaan berjaya dikawal selepas seorang guru memujuk suspek melepaskan pisau berkenaan. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.
Ahmad berkata, keluarga suspek telah dipanggil ke sekolah untuk membawa pelajar terbabit pulang. Suspek turut menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka, dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu.
“Siasatan mendapati semua pelajar terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.








