CAMERON HIGHLANDS – Lebih 20 buah kereta dibocorkan tayar akibat menghalang jalan utama di sekitar pekan Brinchang, dipercayai dilakukan oleh sekumpulan individu.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3 sehingga 5 pagi semalam, keempat-empat tayar kesemua kenderaan yang terlibat yang diparkirkan di kawasan itu dibocorkan menggunakan senjata tajam.
Berdasarkan keterangan saksi kejadian, perbuatan yang tidak bermoral itu dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang berang dengan tindak para pemilik kenderaan yang parking di jalan tersebut yang juga menghalang laluan jalan.
Polis bagaimanapun masih menyiasat punca sebenar kejadian. 11 laporan polis dari pemilik juga telah diterima sehingga jam 3 petang semalam.
Sementara itu di media sosial, netizen menyuarakan sokongan pada tindakan sekumpulan lelaki itu.
“Saya sokong dan suka dengan apa yang sekumpulan lelaki itu lakukan. Itulah akibatnya ada lesen memandu tetapi tiada kesedaran sivik. Otak elok-elok tuhan cipta paling atas letak di kepala, tetapi mereka sendiri yang memandai-mandai letak otak di lutut. Malas punya pasal, sekarang kena keluarkan duit beli tayar baru,” kata Shaiful Shariffuidin.
Bagaimanapun, ada yang membuat spekulasi berkemungkinan kegiatan itu dilakukan oleh pengusaha tayar kereta.
Namun, berdasarkan pengalaman orang ramai, sememangnya tiada kesedaran sivik bagi sesetengah pemandu yang gemar meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sehingga menghalang laluan jalan. Sungguhpun tempat parkir kereta ada disediakan berhampiran. – PIXEL MEDIA