Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kelmarin, pelakon drama Khunsa, Azhan Rani, menyelar individu menonton drama tersebut melalui Telegram secara haram. Sedangkan perbuatan itu tidak ubah seperti menyokong aktiviti cetak rompak digital.
Bagi Azhan, orang ramai sepatutnya menonton drama itu melalui saluran yang betul. Alasan tidak melanggan saluran berbayar seperti Astro juga tidak masuk akal, sedangkan platform penstriman seperti Sooka turut menayangkan drama tersebut di mana pengguna hanya perlu membayar RM15 sebulan.
‘Biasa memang nak free je’
Malangnya, ada individu yang membalas kenyataan tersebut dan menegaskan orang ramai berhak untuk menonton secara percuma.
“Benda boleh tengok free, buat apa nak bayar. Kau marah, saman Telegram la.
“Siapa suruh boleh share benda cemey. Kita orang biasa memang nak free je kalau boleh,” kata individu berkenaan yang mengakui dirinya seorang trader.
Kesal dengan komen individu berkenaan, Azhan menjelaskan beliau hanya mahu memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menghargai hasil titik peluh mereka yang menghasilkan drama itu.
“Cakap pung pang pung pang pun, ini bukan hasil titik peluh hang. Hang cuma akan meroyan kalau orang usik hasil titik peluh hang je.
“Tak mengapa kalau tak mampu nak sedarkan hang. Ini bulan Ramadan, aku husnuzon je la.
“Terima kasih pada yang memahami. Aku masih percaya asas untuk dihormati adalah menghormati,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Mentaliti jahanam
Turut terkesan dengan isu itu, beberapa rakan artis tampil menyelar individu berkenaan.
“Kalaulah kau tahu betapa payahnya nak bikin sesebuah karya yang baik dari segi kos, masa dan tenaga, ini bukan suatu isu yang kau patut perlekeh dan gelakkan. Macam manalah Malaysia nak maju selagi ada mentaliti begini dan yang menjahanamkan pun datang dari orang kita sendiri. Say no to digital piracy!” tegas Beto Kusyairy.
“Kau tahu berapa ramai krew-krew kita yang bekerja macam orang gila bawah matahari terik, berpeluh sampai lencun, angkat equipment turun naik bangunan, keluar masuk hutan. Semata-mata nak bag duit pada mak ayah dekat kampung, nak beli makan untuk anak isteri, nak bayar sekolah anak. Dan kau boleh minta ketawakan? Minta free bermaksud kau sedang membunuh peluang kerja diorang. Kau boleh gelak-gelak ketawa? Mana kemanusiaan kau bro?” kata Zahirl Adzim.