Bayi lemas, dipercayai terlepas daripada pegangan bapanya semasa berkayak di Sungai Ketil - The Reporter

Bayi lemas, dipercayai terlepas daripada pegangan bapanya semasa berkayak di Sungai Ketil

Kredit foto : Ihsan Bomba, Harian Metro, Buletin TV3

Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan dilaporkan lemas, selepas hanyut di Sungai Ketil, Lebok Pedati, Baling hari ini.

Bomba dan Penyelamat Baling menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.04 tengah hari lalu mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Tiba di lokasi, bomba dimaklumkan seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.

Operasi mencari yang turut dibantu oleh malim gunung, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam kemudian berjaya menemui mayat mangsa.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa, Adryan Mikail Mohd Afiq, menaiki kayak bersama bapanya di sungai tersebut.

Bagaimanapun, bapa mangsa yang berusia 30 tahun itu dipercayai tergelincir sebelum mangsa terlepas daripada pegangannya dalam kejadian jam 11.50 pagi dan dihanyutkan air sehingga ke Kampung Sungai Limau.

Semasa kejadian, ibu mangsa dan ahli keluarga serta rakan turut berada di tempat kejadian.

Mayat mangsa berjaya ditemui di Kampung Sungai Limau pada jam 12.45 tengah hari dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sumber: Harian Metro, Buletin TV3

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!