Bayi kembar meninggal selepas dilahirkan, wanita dakwa kakitangan hospital cuai | The Reporter

Bayi kembar meninggal selepas dilahirkan, wanita dakwa kakitangan hospital cuai

Bayi kembar meninggal dunia akibat kecuaian kakitangan Hospital Beaufort

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita meluahkan rasa kecewanya terhadap perkhidmatan sebuah hospital di Beaufort, Sabah selepas kegagalan kakitangan perubatannya memberikan rawatan sewajarnya kepada dirinya yang mengandung anak kembar.

Nur Hidayah Junai mendakwa, insiden berlaku pada malam 20 Oktober 2024 apabila dia mengalami sakit perut dan datang ke unit kecemasan tersebut pada jam 11 malam untuk menjalani pemeriksaan.

Menurut Nur Hidayah, dia dilayan dengan baik pada awalnya, namun doktor bertugas tidak melakukan pemeriksaan yang lebih teliti terhadap keadaannya.

“Doktor hanya memberi ubat tahan sakit dan melakukan imbasan pada bayi dalam kandungan saya sebelum disuruh pulang walaupun perut saya masih mengeras dan sakit,” luahnya dalam hantaran yang tular di Facebook.

Rasa sakit bertambah semakin teruk sehingga jam 5 pagi, lalu dia kembali ke hospital dan dimasukkan ke zon kuning. Malangnya, dia mendakwa kakitangan bertugas mengabaikannya selama dua jam walaupun sudah memaklumkan mengenai kesakitan yang dialami.

“Semasa saya tiba, seorang kakitangan lelaki menyambut saya dengan berkata, ‘Nah datang lagi’, seolah-olah memperlekehkan keadaan saya. Walaupun saya terus merintih kesakitan, mereka hanya menyuruh saya bersabar,” ujarnya.

Nur Hidayah kemudiannya dipindahkan ke wad bersalin selepas keadaan semakin teruk, dan hanya ketika itu bukaan rahimnya diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati bukaan rahim sudah mencapai 8 sentimeter, dan doktor memaklumkan bayi kembarnya tidak dapat diselamatkan kerana sudah terlambat.

“Saya dipaksa melahirkan bayi kembar dalam keadaan yang amat menyedihkan, dengan bayi pertama seberat lebih 1 kilogram dan bayi kedua lebih 700 gram,” katanya.

Pada 22 Oktober 2024, seorang doktor pakar tampil menjelaskan apa yang berlaku dan memohon maaf atas kecuaian kakitangan unit kecemasan yang didakwa cuai kerana menyangka Nur Hidayah hanya mengalami sakit perut biasa.

Nur Hidayah berharap Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian yang berlaku agar insiden sama tidak berulang kepada orang lain.

Related Posts