Bayi berusia 21 hari maut, disyaki dicampak kakak dari tingkat empat | The Reporter

Bayi berusia 21 hari maut, disyaki dicampak kakak dari tingkat empat

Kes bayi 21 hari maut di Rusia selepas dipercayai dicampak kakak sendiri; polis siasat motif cemburu dan kecuaian ibu bapa.
Polis Rusia siasat kematian bayi 21 hari yang dipercayai dicampak kakak berusia lima tahun dari tingkat empat. | Sumber gambar: The Sun, Freep!k

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang bayi perempuan berusia 21 hari dilaporkan maut selepas dicampak keluar dari tingkap aras empat di Vasilyevo, Rusia, ketika ditinggalkan bersama kakaknya yang berusia lima tahun.

Polis kini menyiasat kemungkinan tindakan itu berpunca daripada rasa cemburu terhadap kehadiran ahli keluarga baharu, selain menyiasat tahap kecuaian ibu bapa yang meninggalkan kedua-dua kanak-kanak tanpa pengawasan.

Tragedi berlaku ketika ibu bapa tiada di rumah

Ketika kejadian, bapa keluarga tersebut dilaporkan sedang bekerja, manakala si ibu dikatakan keluar melawat rakan, meninggalkan dua beradik itu bersendirian di rumah.

Penduduk setempat dilaporkan mendengar jeritan dari tingkat empat sebelum menemui bayi tersebut terbaring tidak bergerak di atas konkrit. Saksi berkata mereka berasa “lemah lutut” melihat kejadian yang mengejutkan itu.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian bayi berkenaan di tempat kejadian.

Baca juga:

Pihak berkuasa siasat unsur kecuaian & cemburu

Jawatankuasa Siasatan Rusia memaklumkan, kertas siasatan jenayah telah dibuka berhubung kematian itu. Siasatan turut menumpukan kepada perbuatan ibu bapa yang didakwa meninggalkan anak tanpa pengawasan dan kemungkinan motif cemburu si kakak terhadap adik baharu itu.

Media tempatan melaporkan, si kakak didakwa bertindak mencampakkan adiknya “kerana tidak mahu berkongsi perhatian di rumah”.

Ketua daerah Zelenodolsk, Mikhail Afanasyev, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan menasihati semua ibu bapa agar sentiasa berwaspada serta tidak meninggalkan anak kecil bersendirian.

“Pihak penguat kuasa sedang menyiasat kes ini. Saya menggesa semua ibu bapa supaya lebih berwaspada dan jangan sesekali meninggalkan anak tanpa pengawasan,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk kemungkinan si ibu berdepan hukuman penjara.

Sumber: The Sun

Related Posts