Bayi 11 bulan maut, kereta dipandu bapa terbabas langgar sekumpulan lembu | The Reporter

Bayi 11 bulan maut, kereta dipandu bapa terbabas langgar sekumpulan lembu

Kereta yang dipandu bapa Nur Adriana Amira terbabas melanggar lembu.
Gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas kereta dinaiki bersama ibu bapanya terbabas akibat melanggar sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, pada malam Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir, mangsa, Nur Adriana Amira Mohamad Norismail, yang beralamat di Felda Purun, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Bandar 32.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu bapa mangsa berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong.

“Apabila tiba di lokasi, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut sebelum kenderaan terbabas ke bahu jalan,” katanya.

Tambahnya, ibu mangsa berusia 21 tahun yang memangku anaknya di tempat duduk penumpang depan mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat bayi berkenaan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk proses bedah siasat, sementara kenderaan terlibat dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan lanjut.

Baca juga:

Superintenden Zulkiflee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Dalam kejadian itu, dua ekor lembu mati di tempat kejadian, manakala seekor lagi dilaporkan masih hidup.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa pihak veterinar Bera bersama polis sebenarnya telah menjalankan operasi menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya pada malam kejadian, namun operasi tersebut hanya bermula pada jam 11 malam.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts