Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular video berdurasi 36 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki mendakwa kedua-dua tayar belakang keretanya telah dicuri. Lelaki itu turut meluahkan rasa kecewa kerana meskipun dikenakan bayaran RM150 sebulan untuk parkir, aspek pengawasan dilihat tidak diambil berat sehingga insiden kecurian berlaku.
Polis kini sedang memburu suspek yang mencuri tayar kereta di tempat letak kenderaan berbayar di sebuah pulau persendirian, di sini, selepas kejadian itu mendapat perhatian ramai.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, ketika kejadian, pemilik kereta berada di Pulau Pangkor dan hanya menyedari kehilangan tayar selepas dimaklumkan oleh rakannya melalui panggilan telefon sekitar jam 3 petang semalam.
“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,000 apabila dua tayar Honda City miliknya termasuk rim dicuri. Mangsa membuat laporan polis pada jam 7.30 malam hari yang sama.
“Pengadu meninggalkan keretanya di tempat letak kenderaan berkenaan sejak 14 November lalu. Polis kini giat mengesan suspek untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Roswani Mohd Desa di talian 011-55042061, Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-6886222 atau hotline WhatsApp 017-6828005.
Sumber: Harian Metro, TikTok CV Siva








