Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Enam jam yang lalu, tular video seorang anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan pasangan pelancong dari United Kingdom (UK) yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Perak.
Ketika ditahan, anggota terbabit menjelaskan pemandu, Marr Ann memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan akan dikenakan saman untuk kesalahan itu.
“Kamu telah memandu 70.5 km per jam. Sedangkan had laju di jalan ini ditetapkan 60 km per jam sahaja. Kemudian kamu memandu 80 km per jam pada jam 11.50 pagi,” kata anggota berkenaan.
Mary memaklumkan dia tidak menyedari perkara itu, malah tidak melihat sebarang papan tanda had laju di sepanjang jalan. Namun Mary tidak menolak sekiranya dia dikenakan saman atas kesalahannya itu.
“Saya keluarkan saman dan kamu bayar di balai polis, boleh? Atau kamu bayar di sini? Bayar di balai polis RM300. Bayar di sini RM100. Boleh?”
Pasangan itu hanya akur dan Chris kemudian menghulurkan RM100. Anggota trafik terbabit juga tidak meminta sebarang dokumen dan terus beredar selepas mendapat bayaran tersebut.
Bagaimanapun Mary dan Chris tertanya-tanya, adakah benar mereka memandu melebihi had laju?
Sebelum insiden itu, Chris memaklumkan ada pemandu lori memberi isyarat lampu berkelip-kelip beberapa kali kepada mereka.
Menurut netizen, isyarat itu adalah peringatan atau amaran yang membawa maksud ada polis trafik atau kamera perangkap had laju di laluan tersebut.
Walaupun begitu, netizen tetap tidak bersetuju dengan tindakan anggota berkenaan yang meminta bayaran dari pasangan berkenaan di mana perbuatannya itu jelas sekali menyalahi undang-undang.
“Kalau dapat saman trafik, sebaik-baiknya jangan terus bayar di lokasi kejadian. Pergi ke balai polis atau layari laman web kerajaan untuk membuat bayaran saman,” kata netzen.
Rata-rata netizen menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap anggota terbabit yang jelas sekali telah melakukan kesalahan yang memalukan imej PDRM.
Sumber: YouTube Tread the globe