Bayangan menakutkan di pejabat pada waktu malam - The Reporter

Bayangan menakutkan di pejabat pada waktu malam

Bayangan menakutkan di pejabat. Bulu tengkuk tiba-tiba meremang. Saya cuba mengawal diri & mengabaikan perasaan takut, kembali memberi fokus pada kerja yang perlu disiapkan.

Nama saya, Imran, bekerja di industri pembinaan selama beberapa tahun. Dengan pengalaman yang luas dalam bidang ini, saya kini menjawat jawatan penting dalam sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Kesibukan bekerja adakalanya membuatkan saya terpaksa berada di pejabat untuk menyiapkan kerja sehingga lewat malam. Namun, di satu malam itu, saya mengalami gangguan yang tidak dijangkakan dan ini adalah satu pengalaman seram yang saya alami di pejabat, ternampak bayangan menakutkan di tempat kerja.

Bunyi tapak kaki siapa tu?

Pada malam kejadian itu kira-kira jam 10 malam, suasana dalam pejabat ketika itu agak gelap, tidak banyak lampu yang dibuka selain lampu yang menerangi laluan ke pintu utama. Suasana di sekitar sangat sunyi dan sepi. Sesekali terdengar bunyi almari besi ‘mengecut’ selepas suhu di sekitar mula kepanasan selepas pendingin hawa dipadamkan.

Semua kakitangan telah pulang, hanya tinggal saya bersendirian menyelesaikan tugas penting untuk disiapkan. Namun tanpa diduga, rupa-rupanya suasana ‘damai’ itu bakal berubah menjadi kisah yang menyeramkan.

Ketika sedang menyiapkan kerja, tiba-tiba saya merasakan adanya kehadiran ‘sesuatu’. Seperti ‘sesuatu’ itu berada berdekatan dan bunyi tapak kakinya melangkah kedengaran samar-samar dari lorong yang gelap. Saya segera bangun dan keluar dari bilik untuk memeriksa kerana menyangka mungkin ada kakitangan yang belum pulang. Tetapi keadaan di luar sepi, tiada sesiapa pun yang berada di lorong itu.

Serentak dengan itu, bulu tengkuk tiba-tiba meremang. Saya cuba mengawal diri dan mengabaikan perasaan takut, kembali memberi fokus pada kerja yang perlu disiapkan.

Terperangkap dalam kegelapan

15 minit kemudian, terdengar pula bunyi cengkerik yang sangat kuat. Bunyinya begitu nyaring sehingga menyebabkan konsentrasi saya terganggu. Saya keluar dari bilik dan berjalan menuju ke sumber bunyi itu, ternampak satu tingkap yang terbuka. Pelik, sebab sebelum ini saya telah menutup tingkap itu. Tak nak terlalu memikirkannya, saya menutup tingkap itu dan kembali ke bilik.

Namun, suasana menyeramkan itu masih belum berakhir. Dalam saya melangkah kembali ke bilik, saya ternampak bayangan aneh yang melihat di ekor mata. Apabila saya memalingkan kepala ke arah itu, bayangan tersebut menghilang begitu sahaja. Saya mula rasa tak sedap hati, entah apa yang saya nampak di ekor mata tadi.

Tiba-tiba bekalan elektrik terputus! Saya terkejut dan terdiam. Saya cuba mencari peralatan yang boleh menerangi kegelapan, malangnya tiada satu pun yang ditemui.

Tidak beberapa lama kemudian, kedengaran bunyi gemerincing kunci dari arah pintu masuk. Saya rasa ada ‘sesuatu’ yang bermain kunci pintu dengan sengaja. Hati berdegup kencang, puas kepala cuba mengingat siapa yang masih berada di pejabat ini selain daripada saya. Tetapi seingat saya, hanya saya seorang saja yang masih tinggal di dalam pejabat ini.

Tangannya mencapai sesuatu

Kedengaran pintu terbuka sendiri. Saya menahan nafas, menanti apa yang akan terjadi seterusnya. Dengan tahap pengelihatan yang kurang jelas, ternampaklah penampakan yang membuatkan bulu roma saya meremang! Di ambang pintu, ada susuk bayangan yang menakutkan kelihatan samar-samar. Saya tidak dapat melihat wajahnya dengan begitu jelas, tetapi kehadirannya sangat menakutkan.

Tanpa suara, susuk itu melangkah masuk ke dalam pejabat. Saya cuba menjerit, tetapi tiada suara yang keluar daripada mulut. Dalam masa sama saya terasa dingin dan terus kaku melihat susuk itu mendekati meja berhampiran. Saya melihat bayangan tangannya mencapai sesuatu yang kelihatan seperti sehelai kertas.

Tiba-tiba lampu kembali menyala! Saya terkejut, memejamkan mata sejenak. Ketika membuka mata, susuk bayangan menakutkan itu telah menghilang. Lega rasa di hati, tetapi masih berada dalam ketakutan. Saya segera mengambil keputusan untuk meninggalkan pejabat. Saya ambil bag dan bergegas menuju ke pintu keluar.

Sebaik saja melangkah keluar dari bangunan pejabat, udara segar malam menyambut saya. Rasa teramat lega dan bersyukur saya telah keluar daripada situasi yang amat menakutkan itu. Walaupun saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada malam itu, sehingga sekarang kejadian itu masih membuatkan saya berasa seram dan berfikir apakah bayangan yang menakutkan di pejabat pada malam itu.

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!