Ramai yang tidak tahu, sebenarnya bila aku bersuara lantang tentang isu vaksin, aku bercakap dari pengalaman. Anak aku, Niyaz Anaqi antara bayi yang pernah menjadi mangsa penyakit berjangkit yang boleh dielakkan dengan vaksin.
Semasa dia berumur 7 bulan, doktor sahkan anak aku menghidap pertussis yang juga dikenali dengan nama batuk kokol, batuk 100 hari atau whooping cough.
Macam mana boleh kena? Perkara ini berlaku kerana inopportune atau bad timing.
Selepas genap 3 bulan maternity leave, isteri aku terpaksa kembali bekerja dan satu-satunya pilihan yang ada untuk kami ialah, hantar anak ke nursery. Pada mulanya okay, nursery yang kami pilih pun elok tempatnya. Tetapi tidak beberapa lama selepas itu, anak aku demam.
Kali pertama demam, suhu badannya melonjak sehingga 40’C. Doktor tiada pilihan melainkan masukkan anak aku ke wad. Itu insiden pertama anak aku kena warded.
Selepas pulih, kami kembali menghantar Niyaz ke nursery. Pada masa ini akibat demam kali pertama hari itu, Niyaz sudah ketinggalan dalam jadual vaksin yang sepatutnya. Dan seperti yang dijangkakan, tidak beberapa lama selepas itu, anak aku demam dan kali ini berserta pula dengan batuk yang tidak berhenti.
Sekali lagi Niyaz terpaksa masuk wad dan discaj selepas demamnya hilang dan batuknya surut. Kerana tiada pilihan yang lain, aku hantar dia kembali ke nursery.
Insiden ketiga berlaku ketika umur Niyaz hampir 7 bulan dan adalah yang paling kritikal. Semuanya bermula dengan demam juga dan kemudian diikuti dengan batuk yang semakin kronik.
Aku bawa anak aku ke hospital dan kali ini doktor buat ujian darah dan x-ray untuk mendapatkan kepastian. Kau bayangkan, bayi berusia 7 bulan kena ambil darah. Betapa sakitnya dia rasa dan ujian x-ray yang membunuh banyak sel dalam badan tidak sepatutnya dilakukan ke atas seorang bayi.
Hasil x-ray mendapati, ada bahagian paru-paru anak aku telah dijangkiti. Tidak cukup dengan itu, doktor buat keputusan untuk mengambil sampel kahak pula. Sekali lagi kau bayangkan bayi berusia 7 bulan dijolok hidung dengan tiub getah. Mahu tak menjerit budak itu.
Keputusan dari semua ujian itu, doktor mengesahkan Niyaz menghidap pertussis. Menggelabah aku Google apa itu pertussis. Selepas merasa tidak cukup puas hati dengan penerangan doktor yang panjang lebar.
Kali ketiga masuk hospital, ini adalah yang paling lama. Hampir 2 minggu juga. Rawatan yang diberikan selain dari ubat demam, selsema dan batuk, ialah antibiotik walaupun sebenarnya ia tidak digalakkan untuk bayi. Tetapi nyawa yang menjadi pertaruhan di sini dan kau tiada pilihan yang lain.
Selain dari itu, Niyaz juga menjalani proses fisioterapi seperti tepukan di belakang dada yang dinamakan percussion therapy selain dari kena jemur di bawah lampu khas untuk mencarikan kahak, lebih kurang.
Alhamdulillah mungkin disebabkan tindakan pantas kami merujuk pada pihak hospital serta berdoa kepada Tuhan, Niyaz pulih dari pertussis. Dalam jani temu susulan selepas discaj, doktor memberikan suntikan vaksin terkini untuk memastikan imunisasi Niyaz up to date.
Aku dan isteri, atas saranan doktor, membuat keputusan selepas itu untuk tidak lagi menghantar anak ke nursery. Sebaliknya menyerahkan anak kami kepada ibu mertua untuk dijaga sehinggalah kami akhirnya mendapat pembantu rumah.
Aku ingatkan kes ini selesai begitu sahaja, tetapi rupanya tidak. Selang beberapa minggu selepas discaj, aku mendapat panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Aku, isteri dan anak dikehendaki pergi ke klinik kerajaan yang terdekat untuk melaporkan diri. Rupa-rupanya pihak hospital (swasta) dimana Niyaz dimasukkan membuat laporan kepada KKM kes pertussis anak kami dan ianya dipandang serius kerana pertussis adalah penyakit berjangkit dan tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang mempunyai kadar vaksin yang tinggi.
Terkena juga aku macam Niyaz, nurse jolok hidung aku untuk ambil sampel. Trauma aku dibuatnya. Nasib kami baik, seluruh keluarga disahkan bebas dari pertussis. Kalau tidak, kami akan dikuarantin.
Aku tidak tahu dari mana puncanya Niyaz terkena jangkitan pertussis. Tetapi apa yang pasti ialah selepas aku berhenti menghantarnya ke nursery, terdengan beberapa bayi yang lain dari nursery itu jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.
Kemungkinan besar ada pembawa di kalangan bayi atau kanak-kanak di nusery tersebut. Ada bermacam-macam senario yang mungkin menjadi pencetus kenapa anak aku terkena pertussis di nursery itu. Salah satu kemungkinan ialah Niyaz masih kecil dan dos vaksin yang diterimanya belum lengkap sedangkan di nursery ada bayi atau kanak-kanak yang lebih berumur.
Mereka ini walaupun mungkin telah diberikan vaksin, tetapi tidak mustahil mereka masih boleh menjadi pembawa penyakit. Mungkin juga ada penghuni nursery yang mempunyai severe allergy ke atas vaksin, lalu langsung tidak pernah disuntik. Nursery memang mempunyai sejumlah besar bayi atau anak golongan ekspatriat yang mungkin mempunyai jadual imunasasi yang berbeza dari anak aku dan tidak mustahil juga ada bayi atau anak dari ibu bapa yang anti vaksin.
Apa yang pasti, herd immunity gagal dicapai di kalangan penghuni nursery dan beberapa bayi, termasuk Niyaz menjadi mangsa.
Atas pengalaman yang berlaku pada aku dan isteri, menjadikan kami antara penyokong kuat polisi vaksin dan betapa perlunya ia diwajibkan terutama sekali untuk kemasukkan nursery atau sekolah. Tamabahan lagi, aku dan isteri satu masa dulu juga menerima vaksin dan syukur setakat ini kami tidak pernah dimasukkan ke wad dari kecil hinggalah dewasa kerana sakit.
Sedangkan anak kami yang belum genap setahun umurnya sudah tiga kali keluar masuk hospital.
Kami bernasib baik kerana Niyaz sembuh dan berpeluang melengkapkan jadual vaksin yang ditetapkan. Alhamdulillah dia kini membesar dengan baik. Kalau sakit pun sekali sekala, sekadar demam dan selsema,
Dan di atas apa yang berlaku kepada keluarga sendiri, itulah menyebabkan aku tidak dapat menerima mereka yang memilih jalan anti vaksin. Yang bukan sahaja merisikokan anak mereka sendiri tetapi anak-anak orang lain. Seperti yang aku katakan, vaksin itu mencapai herd immunity dan ianya tidak jauh beza dengan fardu kifayah. – Lucius Maximus | PIXEL MEDIA