Bapa pelajar IKBN Miri tolak tindakan undang-undang - Polis | The Reporter

Bapa pelajar IKBN Miri tolak tindakan undang-undang – Polis

Gambar Pesuruhjaya Polis Sarawak bersama inset video tular pelatih IKBN Miri mengangkat rakan ke arah tiang, dikaitkan isu gurauan melampau.
Bapa pelajar IKBN Miri tolak tindakan undang-undang, polis sahkan insiden hanya gurauan keterlaluan. | Kredit gambar: Bernama, Video tular

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Isu video tular yang memaparkan seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri ‘dihentak’ ke tiang oleh rakan-rakannya akhirnya tidak dibawa ke muka pengadilan. Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, pelajar berkenaan bersama bapanya sepakat untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang walaupun siasatan polis telah pun dibuka.

Katanya, pihak berkuasa telah memanggil semua yang terlibat untuk diambil keterangan, termasuk ibu bapa serta rakan-rakan mangsa.

“Mangsa sendiri tampil membuat laporan, namun selepas berbincang dengan keluarga, mereka enggan meneruskan kes ini,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Baca juga:

Video cetus kegusaran awam

Rakaman berdurasi 13 saat itu terdahulu mencetuskan kemarahan orang ramai kerana kelihatan seperti satu bentuk buli. Beberapa pelatih lelaki dilihat mengangkat rakan mereka dengan posisi kaki terkangkang sebelum menghentakkannya pada tiang.

Polis sebelum ini turut memberi jaminan kertas siasatan akan dibuka sekiranya terdapat unsur jenayah atau laporan rasmi diterima.

Mancha menjelaskan, pemeriksaan di hospital mendapati pelajar tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kejadian itu lebih kepada gurauan yang keterlaluan. Mangsa dan bapanya juga menegaskan tidak mahu memanjangkan perkara ini,” katanya.

Related Posts