Kerajaan bersama Petronas akan menyalurkan bantuan tunai RM5,000 kepada pemilik rumah yang rosak teruk akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor. Manakala, mangsa lain yang turut terkesan akan menerima RM2,500 bagi meringankan beban mereka dalam tempoh sementara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu adalah langkah awal yang segera digerakkan bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas terus terbela.
“Yang kehilangan rumah kita beri RM5,000, manakala yang terkesan akan diberi RM2,500. Yang penting sekarang ialah keselamatan, dan kita sedang kerah seluruh jentera untuk bantu selesaikan isu ini dengan perancangan yang rapi,” katanya memetik laporan Harian Metro, 2 April 2025.
Setakat jam 3.40 petang tadi, sebanyak 190 rumah, 148 kereta, dan 11 motosikal dilaporkan rosak. Tambah Anwar, kerosakan kali ini jauh lebih besar berbanding bencana banjir, justeru pelan baik pulih memerlukan masa dan perhatian yang lebih mendalam.
- DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan, 88.47% perwakilan sokong
- ‘Lu bos ke, gua bos?’ – Lelaki ditahan selepas menyerang MPP Seputeh
- Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar
- Tindakan spontan lelaki selamatkan dua kanak-kanak dalam kebakaran raih pujian
- Polis jalankan siasatan dakwaan kanak-kanak 12 tahun diekori sebuah kenderaan
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa seramai 107 warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk lima guru dan 102 murid dari 23 sekolah, turut terjejas dalam insiden ini.
Justeru, KPM akan menyalurkan bantuan tunai RM1,000 kepada setiap warga terlibat, termasuk bantuan sokongan daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan Yayasan Didik Negara.
“Kita ambil tanggungjawab penuh untuk jaga kebajikan mereka. Ada yang kehilangan semua barangan sekolah. Bantuan akan disalur secepat mungkin selepas semakan data JPNS,” katanya memetik dari sumber yang sama.
Selain bantuan kewangan, pasukan kaunselor dan sokongan akademik turut digerakkan untuk membantu murid bersedia menghadapi sesi persekolahan minggu depan.








