Bank Dunia saran Malaysia laksana langkah berstruktur, tingkatkan cukai - The Reporter

Bank Dunia saran Malaysia laksana langkah berstruktur, tingkatkan cukai

Bank Dunia mengesyorkan kepada Malaysia meningkatkan cukai langsung dan tidak langsung serta meneroka cukai progresif bagi mengukuhkan kapasiti pendapatan. Demi memenuhi keperluan perbelanjaan dan pelaburan yang semakin meningkat. 

Institusi global itu mencadangkan Malaysia boleh melakukannya dengan meningkatkan cukai penggunaan am, cukai pendapatan peribadi, cukai kesihatan, menyelaraskan insentif cukai korporat, memperluaskan cukai keuntungan modal dan meneroka cukai progresif lain.

Ia berkata, Malaysia mencatatkan pendapatan cukai yang rendah iaitu sebanyak 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jelasnya, peratusan itu jauh lebih rendah berbanding purata yang dicatatkan negara berpendapatan sederhana atas lain. Iaitu sebanyak 18 peratus daripada KDNK.

Justeru, katanya, situasi itu telah mengehadkan ruang fiskal negara ini untuk pelaburan yang menyokong pertumbuhan.

“Keupayaan Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan membuat pelaburan progresif adalah sangat dikekang oleh penjanaan hasil cukai yang rendah.

“Kutipan cukai tidak langsung sangat rendah berbanding negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD),” katanya.

Dalam laporan itu, Bank Dunia berkata, pendapatan cukai tidak langsung di Malaysia hanya sedikit regresif. Tetapi menjana hasil yang terlalu sedikit untuk membiayai perbelanjaan mencukupi untuk menyokong golongan miskin.

Ia berkata, sementara cukai langsung menyediakan sebahagian besar pendapatan. Tetapi ia masih sangat rendah berbanding dengan negara OECD, disumbangkan oleh cukai pendapatan individu yang rendah.

Katanya, meningkatkan kecukupan dan bantuan sosial bersasar boleh mengimbangi peningkatan kos sara hidup dengan menaikkan cukai penggunaan atau mengurangkan subsidi bahan api.

Di samping itu, Bank Dunia berkata, pendapatan baharu dan penjimatan kos juga boleh disalurkan ke dalam belanjawan bantuan sosial dengan manfaat jangka pendek dalam mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan serta keuntungan jangka panjang melalui pelaburan dalam pendidikan dan kesihatan.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!