Hakikatnya yang nak berkahwin itu mula terasa tekanan dari pelbagai pihak. Tak termasuk lagi kawan-kawan dari tempat kerja.
Tak pasal-pasal, pasangan pengantin terpaksa membuat pinjaman sana sini, angkara nak memuaskan hati semua pihak terutamanya parents. Bila dilawan, dikatakan anak derhaka. Bila diikut diri, merana.
Tolong faham pihak-pihak tertentu. Selepas kahwin, pengantin ada banyak perkara yang perlu difikir dan ada banyak benda yang perlu menggunakan duit.
Sewa rumah, duit kereta, barang dapur, bil-bil dalam rumah, PTPTN, insuran diri, simpanan masa hadapan.
Yang tak kahwin dan jauh lagi dari bab ini, kalau tak faham, tak apalah juga. Masalahnya yang sudah berkahwin berbelasan tahun, berpuluh-puluh tahun pun takkan tak faham tentang perkara ini?
Jangan samakan zaman sekarang dengan zaman dulu. Tahun 2016, kenaikan harga barang membuatkan kami kena berjimat dalam semua aspek perbelanjaan.
Bukan tak nak buat meriah tetapi kami lebih tahu tahap kewangan kami.
Jadi tolong fahamilah bahawa kami golongan muda yang mahu berkahwin tetapi mahu membuat majlis perkahwinan yang sederhana. Kami buat ringkas, bukan ambil ringkas. Sekian. – Hazra | PIXEL MEDIA