Yuseri Yusoff, 39, bapa kepada bayi perempuan yang berusia 15 bulan maut akibat lehernya terjerut pada kain buaian di pusat jagaan kanak-kanak dalam kejadian Februari lalu, tampil menafikan dakwaan itu dan percaya anaknya telah dijerut sehingga mati.
Menurut Yuseri, sejak dari hari pertama dia tidak percaya pada kenyataan yang diberi oleh pengasuh dan kesal kes itu belum dituduh di mahkamah.
“Baby Syifaa (Nour Rania Asyifaa Yuseri) dijerut, bukan terjerut! Sejak hari pertama aku tidak percaya sepatah kenyataan dibuat oleh pengasuh kerana aku tahu beliau berbohong!
“Polis membuat siasatan berdasarkan kronologi yang diceritakan oleh pengasuh tetapi sehingga ke hari ini, kes belum dituduh di mahkamah.
“Buai yang menjerut Baby Syifaa adalah buai kain yang seperti ‘jaring’. Itulah yang dikatakan oleh pengasuh semasa siasatan polis. Tetapi timbul keraguan, kain yang menjerut leher tidak meninggalkan kesan lebam berbentuk satu garisan lurus.
“Kesan lebam pada leher Baby Syifaa adalah kesan tali wayar atau kabel. Selain itu, tiada kesan ‘jaring’ pada leher Baby Syifaa,” katanya.
Yuseri turut mempertikaikan polis tidak menahan reman pengasuh sejak dari hari pertama kejadian. Malah dia memohon kes kematian anaknya disiasat semula dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Gambar kesan kecederaan pada leher anaknya turut dihantar kepada pakar forensik luar negara yang berpandangan kesan jerutan di leher anaknya itu bukan kesan dari jerutan kain, tetapi berpunca dari jerutan tali, wayar atau kabel.
Yuseri juga bertemu dengan seseorang yang tidak dinamakan yang berpendapat anaknya telah dibunuh sebelum diletakkan dalam buaian.
“Demo menggunakan patung bayi saiz Baby Syifaa menunjukkan kesan kecederaan hampir sama, malah konsisten kesan yang ada pada jenazah Baby Syifaa.
“Bayi dalam keadaan meniarap, diletakkan wayar atau kabel di leher dan ditarik menyebabkan Baby Syifaa meronta-ronta sehingga terdapat kesan melecet dan satu jari kaki hampir tercabut kuku.
“Ramai kawan aku anggota polis pun setuju kesan jerutan pada leher Baby Syifaa bukan disebabkan kain buaian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof menyangkal dakwaan bapa mangsa kononnya polis tidak menjalankan siasatan telus. Sedangkan polis menjalankan siasatan menyeluruh termasuk menggunakan bantuan Jabatan Perubatan Forensik dalam merungkai punca sebenar kematian anak Yuseri Yusoff.
“Polis siasat bukan saja secara individu, tetapi guna bantuan forensik yang melakukan siasatan lebih tepat. Siasatan kes sudah lengkap dan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Apa arahan seterusnya, saa tidak dapat ulas. Kita tunggu saja,” katanya.
Mengenai luahan ketidakpuasan hati Yuseri di media sosial, Nanda berkata itu cuma tanggapan bapa mangsa dan pihak polis tidak dapat memberikan sebarang respon. Ini kerana polis sudah melakukan siasatan terperinci dengan merakam percakapan semua pihak yang berkaitan.
Yuseri dalam kenyataan terkininya di Facebook sekali lagi meluahkan rasa kesalnya dengan respon tersebut dan menegaskan anaknya mati akibat dijerut, bukan terjerut. Malah rakan-rakannya dalam PDRM juga bersetuju bahawa kesan jerutan di leher arwah anaknya bukan disebabkan kain.
“Hanya OCPD Seremban, ACP Nanda Maarof dan IO sahaja percaya ia kesan jerutan kain. Saya benarkan bedah siasat dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian. Tekanan pada leher berpunca akibat jerutan kain, tali atau dicekik tidak disebut dalam laporan bedah siasat.
“Misal kata bedah siasat sekadar cukup syarat untuk maklumkan kepada saya bahawa Baby Syifaa meninggal dunia kerana kesukaran bernafas akibat tekanan pada leher. Saya sudah tahu ketika Baby Syifaa di Klinik Kesihatan. Malah di Klinik Kesihatan Sendayan, saya yang menunjukkan kesan jerutan di leher anak kepada doktor, MA dan jururawat yang kononnya sedang gigih mahu menyelamatkan anak saya.
“Bermakna petugas kesihatan yang kononnnya sedang bertungkus lumus menyelamatkan anak saya tidak tahu bayi yang dibawa oleh pengasuh ke klinik kesihatan dalam keadaan tidak bernafas disebabkan apa,” ujarnya.
Sumber: Facebook Yuseri Yusoff, Harian Metro